This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Faedah pinjaman rumah terbengkalai ditangguh

Berita Harian 07/02/2006

PUTRAJAYA: Kakitangan awam yang membuat pinjaman perumahan daripada kerajaan, tetapi rumah yang dibeli mereka terbengkalai, boleh membuat pinjaman selanjutnya dan dianggap sebagai pinjaman harta pertama.

Selain itu, mereka akan diberikan pengecualian faedah pinjaman sementara menunggu projek kediaman mereka yang terbengkalai dipulihkan semula atau sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan oleh kerajaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Izzuddin Dali, berkata perkara itu antara usaha pihaknya untuk mengatasi masalah pembelian rumah baru yang kemudian terbengkalai sehingga menimbulkan kesulitan kepada peminjam.

Katanya, peminjam yang terbabit dengan projek terbengkalai yang sudah membatalkan pinjaman juga dikehendaki menyelesaikan baki hutang yang dikira atas jumlah pinjaman yang dikeluarkan saja dan bayaran balik boleh dilakukan secara ansuran melalui pindaan kepada Arahan Potongan Gaji/Pencen/Bayaran Balik Bulanan.

“Masalah pembelian rumah kediaman baru yang kemudian terbengkalai sering menimbulkan kesulitan dan beban kepada penerima biaya/peminjam skim pembiayaan perumahan secara Islam/skim pinjaman perumahan perbendaharaan.

"Perbendaharaan kini berhasrat untuk mewujudkan tata cara yang lebih teratur bagi membantu penerima biaya/peminjam mengambil langkah sesuai untuk menanganinya," katanya dalam pekeliling terbaru yang dikeluarkan di sini, semalam.

Izzuddin berkata, tata cara baru itu yang membabitkan beberapa pindaan kepada Pekeliling Perbendaharaan membabitkan pinjaman perumahan daripada kerajaan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Beliau berkata, tafsiran mengenai 'projek terbengkalai' membabitkan pekeliling 1994 dan 1995 itu turut dipinda untuk memberi peruntukan baru iaitu ‘projek terbengkalai’ bermakna yang terbiar atau ditinggalkan oleh pemaju yang disahkan atau diisytiharkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Katanya, melalui surat pengesahan itu, peminjam diwajibkan memohon sama ada untuk membatalkan pinjaman atau bersedia menunggu sehingga projek dipulihkan semula tetapi tertakluk kepada tempoh yang akan ditetapkan oleh Perbendaharaan.

Bagaimanapun, katanya, bagi projek terbengkalai yang disahkan oleh KPKT atau JPPH sebagai tidak dapat dipulih semula, pinjaman akan dibatalkan oleh Perbendaharaan.

Dengan pindaan itu katanya, peminjam yang terbabit dengan projek terbengkalai boleh memohon untuk memindahkan baki pinjaman yang belum dikeluarkan bagi membeli harta lain, dimansuhkan.

Beliau berkata, semua syarat lain dalam Pekeliling Perbendaharaan 1994 dan 1995 mengenai pinjaman perumahan perbendaharaan yang tidak dipinda, kekal seperti sedia ada.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.