This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

800 tunggu hak milik tanah hampir 40 tahun
9/2/2006 Berita Harian Oleh Kalam Hadi

Pembeli lot kediaman di Taman Saujana rayu kerajaan negeri bantu atasi masalah yang berlarutan sejak 1967

JOHOR BAHRU: Lebih 800 pembeli tanah lot kediaman di Taman Saujana berhampiran Taman Desa Harmoni di sini, sudah menunggu hampir 40 tahun lalu untuk mendapat geran hak milik tanah mereka.

Sehubungan itu, mereka merayu kerajaan negeri campur tangan bagi membantu mereka selepas buntu menyelesaikan masalah mereka walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk menggunakan khidmat peguam sejak 1967.

Mereka yang memberi membeli lot tanah kediaman terbabit daripada sebuah syarikat kecewa dan berharap kerajaan negeri membantu segera menyelesaikan masalah berkenaan daripada berterusan.

Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Taman Saujana (PPRTS), Badri Mukibat, 63, kecewa dan kesal kerana masalah berlarutan sejak 39 tahun lalu tetapi masih belum berakhir.

Katanya, sebagai langkah awal, pihaknya terpaksa mendapatkan khidmat peguam bagi membantu mereka mendapatkan geran hak milik tanah yang dibeli sejak 1967.

"Ketika itu kebanyakan kami masih berusia bawah 40 tahun. Ada yang membeli lebih dua lot tanah untuk kediaman daripada pemilik tanah yang juga usahawan terkenal di negeri ini.

"Bagaimanapun, daripada 890 pembeli yang membeli tanah sejak awal, hanya 50 saja sudah mendapatkan geran hak milik tetapi bakinya 800 pembeli masih menunggu sehingga kini.

"Malah ada juga rakan kami yang sudah meninggal dunia tetapi geran hak milik yang ditunggu masih juga tidak diketahui bila akan diperoleh," katanya.

Badri berkata, beliau bersama tujuh ahli jawatankuasanya terpaksa menemui Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, pada 12 Januari lalu untuk mengadu hal.

Katanya, Menteri Besar sendiri memberi pengakuan untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan dan merujuk masalah itu kepada pimpinan Umno Bahagian Pasir Gudang serta ketuanya, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Ahli jawatankuasa penduduk, Mohd Top Jaafar, berharap masalah yang membelenggu pembeli tanah di situ akan selesai dalam tempoh terdekat kerana pembeli tidak tahan lagi dipermainkan oleh pemilik tanah berkenaan.

Beliau berkata, pemilik tanah terbabit perlu menyerahkan segera geran hak milik tanah kepada pembeli yang sudah melunaskan segala bayaran sebagaimana perjanjian asal.

"Kami bimbang nanti ada pembeli yang kurang sabar dan terpaksa bertindak segera menggunakan undang-undang sendiri untuk menuntut geran hak milik mereka.

"Sekiranya hal ini berlaku pasti keadaan lebih buruk lagi tambahan pula pemilik asal tanah berkenaan adalah seorang tokoh perniagaan terkenal yang turut menjadi pengerusi sebuah badan perniagaan Melayu negeri ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada pimpinan Umno bahagian Pasir Gudang yang sudi menerima undangan untuk berdialog dengan pembeli semalam.

Katanya, kehadiran Naib Ketua bahagian, Ahmad Daud; Pembantu Khas Mohamed Khaled, Baharudin Taib; Bendahari bahagian, Abdul Rahim Latif dan Pemangku Ketua Pemuda, S Razal Alias menandakan ketelusan Umno Bahagian untuk bersama menyelesaikan masalah berkenaan.

 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.