This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

5 tahun guna air tangki

Berita Harian 8/2/2006

SEMENYIH: Lebih 1,000 penduduk Bandar Rinching dekat sini, kesal dengan sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab mengabaikan kemudahan asas, terutama bekalan air sehingga menyebabkan mereka hidup dalam serba kekurangan dan kesusahan sejak lima tahun lalu.
Lebih menghairankan mereka diberikan kunci rumah, walaupun meter air tidak dipasang ketika itu dan bekalan elektrik hanya mereka nikmati selepas sembilan bulan berpindah ke situ.

Pengerusi Penduduk Bandar Rinching Seksyen 5, Zubaidah Ahmad, berkata sejak mendiami rumah itu, penduduk tidak pernah mendapat bekalan air sempurna daripada paip dalam rumah, tetapi bekalan air yang dibekalkan oleh pemaju yang mereka gunakan.

“Kita tidak lagi mahu air yang dibekalkan oleh pemaju, tetapi daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Biarlah kami membayar sendiri air yang diguna kepada Syabas, walaupun banyak mana yang kami guna, kami berpuas hati daripada membayar kepada pemaju, tetapi tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau ditemui ketika bersama penduduk mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat pemaju bagi menggesa mengeluarkan Sijil Layak Menduduki (CF) dan menuntut penyelesaian masalah prasarana sistem bekalan air yang tidak sempurna selama lima tahun.

Penduduk, Md Nizam Yusof, berkata masalah gangguan bekalan air yang kerap dihadapi menyukarkan kegiatan harian mereka, terutama yang mempunyai ramai anak.

“Kami tidak pernah mendapat bekalan air paip 24 jam sehari, malah air kerap terputus sehingga beberapa hari dan kami dibekalkan air melalui lori tangki pengangkut air yang disewa pemaju,” katanya.

Pesara Tentera, Izhar Said, berkata ketika penduduk memasuki rumah itu empat tahun lalu, mereka tidak dibekalkan bekalan air dan elektrik, tetapi pada masa sama terpaksa membayar deposit elektrik dan air, iaitu syarat untuk mendapatkan kunci rumah.

Katanya, janji pemaju untuk menyelesaikan masalah itu langsung tidak tertunai, malah pemaju juga gagal menyerahkan Sijil Layak Menduduki (CF) kepada penduduk.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zainal Abidin Arshad menganggap ketiadaan bekalan air di kawasan terbabit bukan disebabkan kegagalan Syabas, tetapi berpunca daripada pemaju yang gagal menyediakan keperluan asas kepada pembeli rumah.

Katanya, pihak MPKj akan mengadakan mesyuarat bersama semua pihak yang terbabit bagi menyelesaikan masalah itu sehingga selesai.

“Kita tidak mahu lagi masalah ini menjadi berat sekiranya mereka tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan kepada pembeli.

Sementara itu Bernama melaporkan, Syabas memaklumkan masalah gangguan bekalan air di Bandar Baru Rinching, Seksyen 5 dan 6, Semenyih, selama ini berpunca daripada bil tertunggak syarikat pemaju perumahan kawasan berkenaan yang sudah menjangkau RM1 juta.

Pengarah Eksekutif, Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Syabas, Naemuddin Abdullah, dalam kenyataannya semalam, berkata syarikat Rhombus Bina Sdn Bhd, mempunyai hutang tertunggak itu sejak 2003.

Beliau berkata, Syabas baru-baru ini mengambil tindakan menamatkan bekalan air ke kawasan perumahan terbabit, yang menggunakan sistem bekalan air dari meter pukal yang dibenarkan hanya untuk kegunaan pembinaan projek perumahan berkenaan.

“Sepanjang tempoh lima tahun, pemaju menggunakan sistem itu untuk disalurkan kepada lebih 2,000 unit rumah di kawasan berkenaan. Ia tidak lagi sesuai kerana tekanan yang rendah serta tidak mencukupi untuk keperluan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, ini mengakibatkan pemaju terpaksa melakukan catuan, sekali gus mengundang rasa tidak senang penduduk kerana mereka sudah membayar deposit bagi mendapatkan bekalan air yang sempurna.

Naemuddin berkata, masalah itu sebenarnya berpunca daripada tindakan pihak pemaju yang menyerahkan kunci kepada pembeli rumah tanpa menyediakan prasarana sistem bekalan air yang sempurna seperti yang diluluskan Syabas.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.