This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Keluarga mahu saman pemaju
Berita Harian  22/12/2006 Oleh Mohd Azis Ngah

Ibu bapa remaja meninggal dunia selepas koma akibat jatuh tangga di Bandar Tasek Puteri ambil khidmat peguam

RAWANG: Keluarga remaja malang yang meninggal dunia selepas tiga hari koma akibat terjatuh daripada tangga rumahnya di Bandar Tasik Puteri di sini bercadang mendakwa pemaju berikutan kejadian tangki air runtuh dan meranapkan tangga rumah mereka.

Kejadian di Jalan Hijau 2/2 Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri itu mengakibatkan laluan ke tingkat atas rumah milik Abdul Rahman Ahmad, 42, terputus dan mereka hanya menggunakan tangga kayu mudah alih yang disediakan kontraktor.

Dalam kejadian Sabtu lalu, anak sulung Abdul Ramman, Amirull Azwan, 15, terjatuh daripada tangga kayu itu dan mengalami keretakan di kepala mengakibatkan beliau koma sebelum meninggal dunia jam 4.30 petang, kelmarin.

Rumah teres dua tingkat milik Abdul Rahman itu rosak teruk selepas kayu lantai tangki air yang mampu mengisi air sehingga 250 gelen patah mengakibatkan tangki jatuh menghempap tangga asal rumahnya.

Abdul Rahman berkata, sebahagian tangga asal rumahnya runtuh dan kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pemaju tetapi beliau kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pemaju yang gagal membaik pulih sepenuhnya rumah mereka.

“Mereka hanya datang membaiki tangki air tetapi tidak membaik pulih tangga rumah dengan alasan tempoh jaminan menduduki rumah sudah tamat dan mereka juga tidak mempunyai bahan untuk membaiki tangga.

“Saya juga diminta membayar RM150 untuk kerja membaiki tangki, sedangkan ia bukan masalah kami kerana difahamkan kayu lantai itu tidak bermutu, mudah reput. Saya akan membayar jika mereka baik pulih sekali tangga rumah.

“Tetapi malangnya, kami tidak sempat berbuat apa-apa kerana anak saya sudah menjadi mangsa. Sepatutnya isu ini boleh diselesaikan sejak sebulan lalu kerana tangki air itu runtuh pada 26 November, tetapi mereka tidak buat apa-apa tindakan susulan,” katanya.

Sehari selepas tangki air pecah, kontraktor pemaju datang ke rumah mangsa dan membaiki semula tangki air mereka.

Abdul Rahman berkata, beliau akan menyerahkan isu itu kepada pihak yang pakar dengan undang-undang sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Kami hanya mahu hak kami. Nyawa anak saya bukan ada nilai yang boleh ditukar ganti tetapi kami mahu pembelaan sewajarnya. Sebagai pembeli rumah, kami mahu hak kami yang setimpal, pemaju boleh dapat untung juta-juta tetapi nasib kami diabaikan.

“Kalau ada undang-undang yang membela pemaju, kami juga ada hak kami. Kalau rumah saya boleh runtuh kerana masalah kayu reput, tidak mustahil rumah jiran saya pun mengalami masalah sama,” katanya.

Beliau yang tinggal di situ sejak 2002 berkata, anaknya, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, di sini dikatakan tergelincir sebelum jatuh pada ketinggian dianggarkan 10 meter.

Ketika kejadian, isterinya, Siti Hazar Salam, 37, bersama tiga lagi anaknya berada di rumah dan terus menghantar Amirull ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat pendarahan teruk di kepala.

Jenazah Amirull selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes di sini kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.