This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Datuk dalang tipu RM10 juta
Harian Metro 02/12/2006 Oleh Nazarali Saeril dan Hadzlihady Hassan

KUALA LUMPUR: Gelap mata dengan nilai hartanah mencecah RM10 juta bagi sekeping tanah sekangkang kera berhampiran pusat beli-belah Mid Valley, seorang Datuk membuat rancangan menipu dengan mendapatkan geran tanah berkenaan yang bukan miliknya sebelum menjualnya.

Datuk terbabit berpakat dengan beberapa individu lain sebelum seorang daripada mereka ditugaskan ke Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan serta memohon geran tanah baru di lokasi strategik berkenaan dengan alasan dokumen asal hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Aris Ramli, berkata pihak pejabat tanah terbabit tanpa banyak soal terus meluluskan permohonan geran baru.

“ Dengan geran baru itu, Datuk terbabit serta konco-konconya mendapat hak mutlak pemilikan lot tanah seluas kira-kira satu ekar (0.4 hektar) sebelum dijual kepada ahli perniagaan lain.

“Hasil jualan haram itu, mereka memperolehi RM10 juta dan dibahagikan sesama sendiri sebelum menyembunyikan diri bagi mengelak perbuatan terbabit diketahui pembeli serta pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di IPK Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sebelum itu, Datuk terbabit dikatakan bertugas mencari bakal pembeli sebelum menunjukkan lokasi lot tanah berkenaan untuk dinilai sebagai kawasan perniagaan.

Mangsa pula yang puas hati dengan tawaran RM10 juta tidak berfikir panjang dan terus bersetuju memandangkan pulangan lumayan bakal diperoleh jika projek pembinaan premis perniagaan disiapkan mengikut jadual.

“Bagaimanapun, penipuan itu tidak kekal apabila pembeli membuat laporan polis selepas pemilik sebenar lot tanah berkenaan mengatakan dia tidak pernah menjual tanah terbabit.

“Pemilik sebenar turut menunjukkan geran tanah berkenaan dan pemeriksaan mengesahkan ia tulen. Polis kemudian melancarkan operasi memburu Datuk terbabit serta konconya itu sebelum menahan seorang lelaki,” katanya.

Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai maklumat penting mengenai urus niaga itu dan dia kemudian didakwa di mahkamah sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit gagal menghadirkan diri di mahkamah dalam perbicaraan pada 31 Oktober lalu.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang dikenali sebagai P Selvarajah, 51, nombor kad pengenalan 550330-05-5087 serta beralamat terakhir di No 52, Jalan Sentul Pasar di sini, untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPK Kuala Lumpur di talian 03-21460584 atau Rakan Cop di 03-21159999.

Polis juga meminta tiga saksi menyerah diri untuk membantu siasatan kes penipuan pemindahan hak milik tanah membabitkan kerugian RM80,000 di Johor, tiga tahun lalu.

Mereka adalah Tan See Siong, 37, dan Tan Beng Chun, 40, beralamat terakhir di Nombor 8, Jalan Mutiara 8, Taman Mutiara, Segamat serta Yong Chong Lum, 41, yang tinggal di Nombor 118, Jalan Nakhoda 12, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.