This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kerajaan Negeri Akan Lantik Pesuruhjaya Bangunan
28/11/2006 Bernama

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Pembeli unit rumah di bangunan bertingkat tidak lama lagi boleh merujuk kepada pesuruhjaya bangunan yang akan dilantik kerajaan negeri untuk meneliti masalah yang mungkin timbul dari tempoh penyerahan unit kosong sehingga pengeluaran hak milik strata.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia terkandung di dalam Rang Undang-undang Bangunan dan Harta Bersama yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

"Kami dengar banyak masalah yang dihadapi pembeli sementara mereka menunggu hak milik strata. Jadi kami berharap dengan pelantikan pesuruhjaya itu, seperti yang diperuntukkan dalam rang undang-undang berkenaan, boleh mengatasi situasi itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Kabangsaaan mengenai Kerajaan Tempatan ke-56 di sini hari Selasa.

Semasa bercakap kepada pemberita kemudian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting berkata pesuruhjaya bangunan itu akan diberikan kuasa yang perlu untuk menyelesaikan masalah itu.

"Sebagai contoh pembeli yang tidak puashati dengan pemaju, umpamanya, kerana tidak menjalankan penyelenggaraan yang betul. Buat masa ini tiada undang-undang tertentu untuk membantu mereka.

"Jadi dengan undang-undang baru ini (yang akan digubal), jika terdapat sebarang pertikaian atau penyelewengan, pesuruhjaya bangunan boleh campur tangan dan akan merupakan orang yang akan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan," katanya.

Ong berkata cadangan undang-undang itu akan menjadi pelindung kepada pembeli dalam tempoh yang disifatkannya sebagai vakum panjang di antara waktu penyerahan pemilikan kosong dan pengeluaran hak milik strata yang kini hanya pemaju mempunyai hak untuk menguruskan hartanah milik bersama.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak berkuasa negeri akan perlu menimbangkan golongan seperti pegawai kerajaan atau profesional yang tahu bagaimana untuk menguruskan hartanah bersama bagi memegang jawatan pesuruhjaya bangunan.

Mengenai perkara lain, Najib berkata Majlis itu bersetuju bahawa Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan yang akan menggantikan Sijik Layak Diduduki (CFO), bakal dilaksanakan di semua negeri.

Sistem baru itu, yang akan mengurangkan birokrasi dan menggalakkan penyeliaan dan pensijilan sendiri oleh profesional, akan dikuatkuasakan kira-kira 18 bulan selepas undang-undang berkaitan diluluskan di Parlimen dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

CCC adalah bagi projek baru sementara bangunan yang kini dalam pembinaan masih dikeluarkan CFO yang akan akhirnya dimansuhkan.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.