This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

CCC ganti CFO pertengahan 2007
25/11/2006 Utusan Malaysia  Oleh IZWAR ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dijangka mula digunakan bagi menggantikan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) sebelum pertengahan tahun hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, pembentangan enam undang-undang terlibat akan dibuat pada penghujung sesi Dewan Rakyat yang sedang berjalan sekarang.

‘‘Pindaan enam undang-undang iaitu lima undang-undang ibu dan satu undang-undang kecil akan dibentangkan kepada jemaah menteri dan kalau semua berjalan dengan baik, kita boleh mula gunakan CCC sebelum pertengahan tahun depan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pameran Kesihatan Antarabangsa 2006 di sini hari ini.

Menurutnya, enam akta yang akan dipinda serentak itu ialah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Pemaju Perumahan 1966 dan Akta Hak Milik Strata 1986.

Selain itu, katanya, ia juga melibatkan Akta Pendaftaran Jurutera 1967, Akta Arkitek 1967 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Enam undang-undang itu terletak di bawah tiga kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli.

Di bawah kaedah baru itu, katanya, tanggungjawab untuk mengeluarkan CFO akan berpindah kepada pihak profesional seperti jurutera atau arkitek.

Menghapuskan

Ujarnya, pelaksanaan CCC akan menghapuskan kerenah birokrasi sebagaimana yang dihadapi oleh pemaju sekarang dalam proses mendapatkan CFO.

‘‘Melalui CCC, jurutera atau arkitek mempunyai kuasa untuk meluluskan semua aspek teknikal tanpa perlu merujuk kepada mana-mana jabatan kerajaan,’’ katanya.

Bagaimanapun, Ka Ting, pihak berkuasa tempatan (PBT) tetap mempunyai kuasa untuk membetulkan sebarang kesilapan yang dikenal pasti dalam sesuatu projek demi keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Ka Ting pada sidang media yang sama memberitahu, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi membina sebuah taman awam berskala besar.

Ujarnya, tujuan pembinaan taman berkenaan adalah bagi menyediakan tempat riadah yang lebih selesa kepada warga kota di samping menjadikannya sebagai satu tarikan pelancong.

‘‘Kementerian juga meminta kerjasama PBT menyediakan ruang riadah dan rekreasi untuk penduduk di kawasan mereka.

‘‘Ini penting kerana ia boleh menggalakkan penduduk mengamalkan gaya hidup sihat,’’ katanya.

Dalam pada itu, Ka Ting mempelawa orang ramai mengunjungi Pameran Kesihatan Antarabangsa Ketiga 2006 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari bermula hari ini.

Pengunjung pameran itu berpeluang mendapat pelbagai maklumat mengenai produk penjagaan kesihatan terkini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.