This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

25 penghuni pangsapuri tinggal sehelai sepinggang
Utusan Malaysia 03/11/2006 Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM 2 Nov. – Sebanyak 25 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila tujuh unit kediaman mereka yang terletak di tingkat 5, pangsapuri blok 4, Jalan Kancil, Seksyen 20 di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Turut terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu ialah dua lagi unit pangsapuri yang terbakar di bahagian bumbung, siling dan sebahagian rumah.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana penghuni di unit yang terbakar sempat menyelamatkan diri dan ada yang tiada di rumah kerana bekerja.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Fuzi Mohd. Tabot berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 10.53 pagi dan empat jentera bersama 28 anggota serta enam pegawai dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Jelutong dan Shah Alam terus melakukan kerja mencari dan menyelamat selain memadamkan api kerana pada mulanya pihak bomba mendapat maklumat ada mangsa terperangkap.

‘‘Setelah usaha mencari dan menyelamat dijalankan didapati tiada mangsa yang terperangkap atau tercedera dan api dapat dikawal dari merebak kira-kira pukul 11.25 pagi.

‘‘Kebakaran berjaya dipadamkan keseluruhannya pada pukul 12.25 tengah hari,” kata beliau.

Menurut Mohd. Fuzi, pihaknya kini sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian kesemua mangsa yang terlibat.

Tambah beliau, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati unit-unit pangsapuri lain yang tidak terlibat dalam kebakaran di bangunan yang sama selamat untuk diduduki.

Sementara itu, salah seorang penghuni di unit pangsapuri bersebelahan dengan unit yang terbakar, Mohd. Sopirol Salleh, 30, berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap dalam kebakaran.

Menurut Mohd. Sapirol, dia yang keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri setelah melihat asap berkepul-kepul melalui tingkap, ternampak dua kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Haikal, 5, dan Syuhada, 2, sedang baring di ruang tamu pangsapuri berdekatan dengan pintu yang terbuka tetapi grilnya berkunci.

‘‘Saya menjerit memanggil kedua-dua beradik itu yang salah seorangnya (Haikal) sedang menonton televisyen dan seorang lagi sedang tidur.

‘‘Ketika itu datang seorang kanak-kanak yang tinggal di unit berdekatan memberi kunci rumah kepada saya dan saya terus membuka gril sebelum membawa keluar kedua-dua beradik itu,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang di Seksyen 16 di sini.

Katanya, dia terus menyerahkan mereka (dua beradik itu) kepada jiran-jiran lain kerana ketika itu dia sedang mendokong anaknya, Nursufiliah, 13 bulan.

Sementara itu, difahamkan, bapa kepada dua beradik itu keluar sebentar untuk menghantar tiga lagi anaknya ke sekolah.

Lelaki itu dikatakan meninggalkan kunci rumah kepada jiran berdekatan sebelum keluar supaya keluarga itu boleh menjaga sementara anak-anaknya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.