This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tanah runtuh, 3 rumah musnah
Mingguan Malaysia 08/01/2006

IPOH 7 Jan. -Sebanyak 15 buah rumah di Taman Pusing lndah di sini diarah supaya segera dikosongkan berikutan kejadian tanah runtuh yang memusnahkan tiga rumah di kawasan itu semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata, arahan itu bagaimanapun membabitkan pemindahan tiga buah keluarga sahaja kerana semua rumah yang lain tidak berpenghuni.

"Tiga keluarga terbabit dipindahkan sementara ke sebuah kuarters kerajaan di Batu Gajah sementara tapak rumah yang sesuai sebagai ganti dikenal pasti," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian tanah runtuh itu di Taman Pusing lndah di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tronoh, Datuk Lee Koon Yin.

Dalam kejadian semalam, tiga buah rumah musnah dan dua rumah yang terletak di tebing bukit setinggi kira-kira 50 meter runtuh pada kira-kira pukul 4 petang.

Hanya sebuah daripada rumah berkenaan berpenghuni tetapi semasa kejadian penghuninya tidak berada di rumah. Taman perumahan yang mempunyai 140 buah rumah itu hanya didiami oleh 28 keluarga.

Tinjauan mendapati tanah-tanah di kawasan itu dihanyutkan berpuluh-puluh meter ke bawah disebabkan terdapat aliran air di kawasan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai punca kejadian itu, beliau berkata siasatan awal mendapati ia adalah akibat hakisan tanah berikutan hujan lebat.

"Jalan raya dan kawasan yang runtuh itu tidak boleh dipulihkan dan usaha sedang dijalankan bagi memastikan rumah-rumah lain di taman perumahan itu selamat diduduki," katanya.

Tajol Rosli berkata, taman perumahan itu sebenarnya memang projek bermasalah dan beberapa kejadian tanah runtuh telah berlaku sejak ia disiapkan tahun lalu.

Katanya, projek itu sebenarnya tidak mendapat Sijil Layak Menduduki dari Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) selama lapan tahun dan hanya dua tahun lepas ia diluluskan selepas didesak oleh pemaju, pembeli dan pemimpin politik.

Beliau berkata, MDKB yang kurang yakin dengan keadaan tanah berbukit dan dikelilingi bekas lombong itu pernah mencadangkan kawasan tersebut dibangunkan dengan rumah-rumah banglo.

Menurutnya, projek perumahan itu terletak di kawasan yang memang dikenal pasti sering berlaku kejadian tanah jerlus dan peraturan ketat dikenakan oleh pihak berkuasa bagi permohonan projek di situ dan juga di Lahat, Menglembu dan Batu Gajah.

"Bagaimanapun jika kita terlalu ketat, kerajaan negeri didakwa tidak mesra perniagaan dan dalam kes ini pemaju telah mengemukakan kajian oleh perunding, jurutera dan arkitek yang mengesahkan ia selamat," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.