This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rasional cukai pintu

Utusan Malaysia 16/1/2006

CUKAI pintu timbul kembali menjadi isu. Tidak pernah ada berita yang boleh disambut lega mengenai cukai pintu. Cukai dinaikkan tetapi perkhidmatan mengecewakan.

Sebarang bentuk cukai yang dilaksanakan sewajarnya memenuhi prinsip asas pencukaian itu sendiri. Cukai yang adil adalah cukai yang memenuhi dua tuntutan utama prinsip asas pencukaian. Pertama dari segi faedah yang bakal dipulangkan kepada pembayar cukai dan masyarakat amnya. Kedua dari segi kemampuan membayar oleh pembayar cukai.

Bagi tuntutan pertama iaitu faedah yang bakal dipulangkan kepada pembayar cukai sememangnya sukar diukur secara spesifik. Kebanyakan faedah yang dipulangkan merupakan faedah umum kepada masyarakat dalam bentuk barangan atau perkhidmatan untuk kegunaan bersama.

Mengenai tuntutan kedua, cukai yang dikenakan mestilah mengikut kemampuan membayar berlandaskan prinsip ekuiti. Jika pendapatan atau keuntungan tinggi, maka cukai yang dikenakan harus tinggi dan begitulah sebaliknya.

Persoalan pokok di sini adakah cukai pintu itu memenuhi kedua-dua prinsip pencukaian? Kenapa antara banyak-banyak cukai, cukai pintu yang selalunya menimbulkan kontroversi dan mendapat bantahan daripada pembayar cukai?

Akta Kerajaan Tempatan 1976 (pindaan) membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan cukai pintu atau kadaran ke atas semua pegangan hartanah (tidak termasuk hartanah yang dikecualikan) yang berada di kawasan masing-masing. Cukai dikenakan ke atas hartanah yang dimiliki melalui anggaran nilai sewa kasar sesebuah hartanah setempat. Kadar cukai yang dikenakan berbeza mengikut jenis hartanah sama ada kediaman, komersial, industri dan lain-lain.

PBT juga dibenarkan untuk menilai semula hartanah-hartanah di kawasan masing-masing setiap lima tahun dan mentaksir cukai yang baru.


Rasional penilaian semula hartanah dan penaksiran semula cukai pintu adalah bagi menangani kenaikan kos PBT sedangkan pemilik hartanah dianggap mendapat faedah atas kenaikan nilai hartanah mereka kesan daripada perubahan masa dan pasaran.

Sama seperti cukai-cukai lain, rata-rata faedah yang dipulangkan kepada pembayar cukai pintu adalah faedah umum. Cukai pintu dikenakan berlandaskan konsep memelihara kepentingan pelaburan hartanah si pembayar cukai atas alasan tanpa perkhidmatan dan ameniti yang diberikan,
sesebuah kawasan atau lokaliti akan menjadi tidak baik dan pasaran hartanah di kawasan berkenaan akan turut terjejas dan nilai hartanah akan menurun.

Namun, apa yang sebenarnya dipulangkan kepada pembayar cukai hanyalah faedah umum sahaja dalam bentuk perkhidmatan yang sama dan ameniti yang dikongsi penggunaannya tanpa mengira rendah atau tinggi cukai yang dibayar.

Oleh kerana faedah yang diberikan adalah sama sahaja, kenapa pula cukai yang dikenakan tidak diselaraskan dan disamakan untuk semua pembayar cukai?
Berbeza

Alasan yang lazimnya dikemukakan - walaupun perkhidmatan yang diberikan dan ameniti yang disediakan adalah secara umum tetapi perubahan ke atas pasaran dan nilai hartanah adalah berbeza mengikut jenis dan kategori, maka cukai dikenakan harus berbeza. Alasan seterusnya ialah tiada apa bentuk pencukaian yang memulangkan faedah secara spesifik kepada setiap pembayar cukai, semuanya diberi dalam bentuk barangan dan perkhidmatan awam yang umum.

Dari segi prinsip kemampuan membayar, oleh kerana cukai pintu berasaskan kepada sewaan kasar hartanah, bagi hartanah yang disewakan atau dipajakkan, asas pencukaian sedemikian adalah berkaitan kerana pemilik menerima pendapatan sewa daripada pemajak atau penyewa.

Tetapi bagi pemilik hartanah yang tinggal sendiri atau tiada menerima pendapatan sewa, asas ini sukar diterima. Dengan lain perkataan, bagi hartanah berkenaan, cukai pintu yang dikenakan tiada kaitan langsung dengan pendapatan si pembayar cukai.

Kalau dibandingkan dengan cukai-cukai lain berasaskan pendapatan atau keuntungan, cukai pintu gagal memenuhi kedua-dua prinsip pencukaian berkenaan. Kritikan yang selalu dilemparkan ke atas cukai pintu ialah ia tidak adil, membebankan dan regresif berbanding dengan cukai-cukai lain.

Walaupun sudah lama dikenal pasti mengenai kelemahan sistem cukai pintu yang diamalkan oleh PBT, persoalannya kenapa ia masih menjadi pencukaian utama PBT?

Apakah tidak mungkin kita memperbaiki sistem cukai pintu atau bertukar sahaja kepada sistem yang lebih baik dan adil mengikut acuan kita sendiri?

Walaupun kebanyakan pihak kerajaan yang mengamalkan sistem cukai pintu sedar akan kepincangan dan ketidakadilan dalam sistem cukai berkenaan, setelah dicari alternatif yang lain, mereka mendapati cukai pintu masih merupakan cukai yang sesuai dari segi pentadbiran dan pelaksanaan.

Ini kerana, objek yang menjadi asas kepada taksiran pencukaian itu adalah hartanah yang mana kedudukannya tetap dan tidak boleh dipindah.

 

Sekiranya pembayar cukai gagal membayar cukai pintu, tindakan susulan undang-undang boleh diambil dengan mudah dengan menyita premis bagi mendapatkan cukai yang tertunggak.

Tidak mudah untuk mencari cukai alternatif yang lebih baik dan mampu memenuhi prinsip keadilan bagi menggantikan cukai pintu. Lebih baik sahaja kerajaan kenal pasti dan perbaiki kelemahan dan kekurangan sistem cukai pintu yang dilaksanakan PBT daripada mencuba-cuba sistem cukai yang baru.

Sekiranya masalah adalah berkaitan dengan bebanan cukai yang tidak adil, kenapa tidak gunakan konsep agihan semula seperti sistem rebat bagi mengurangkan bebanan kepada pembayar cukai yang berpendapatan rendah.


Sekiranya sistem rebat menyebabkan pengurangan hasil berbanding perbelanjaan, maka adalah menjadi peranan kerajaan negeri dan persekutuan yang mempunyai asas cukai yang lebih besar, menyalurkan sumbangan melalui geran bagi mengimbangi defisit perbelanjaan PBT.

Begitu juga dengan tahap perkhidmatan yang kerap menjadi rungutan. Adalah menjadi tanggungjawab PBT menyediakan perkhidmatan yang terbaik lagi efisien serta ameniti yang mencukupi tanpa mendiskriminasi antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Semua pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan terbaik tanpa mengira strata sosial mereka.

Hubungan PBT dan pembayar cukai adalah seperti penjual dan pembeli. Sudah tentu pembeli mahukan barangan atau perkhidmatan yang berkualiti dan terjamin daripada penjual.

PBT juga dituntut supaya lebih telus, memberikan perkhidmatan yang berkualiti, berhemah dalam perbelanjaan tanpa pembaziran.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.