This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek tergendala hantui Kampung Sungai Pusu

18/01/2006 Berita Harian

GOMBAK: Keterbukaan penduduk Kampung Sungai Pusu, dekat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini menerima pembangunan mungkin bertukar menjadi igauan buruk apabila beberapa projek yang terbengkalai sejak dua tahun lalu mengundang pelbagai masalah dan jenayah yang membimbangkan mereka.

Malah, projek berkenaan menyebabkan pencemaran dan memusnahkan alam semula jadi sehingga penduduk dihantui kebimbangan berlaku banjir dan tanah runtuh.

Kebimbangan itu mungkin ada benarnya kerana tanah bukit yang diratakan untuk tujuan pembangunan terbiar sejak beberapa tahun lalu dan mengancam penduduk jika berlaku runtuhan tanah, terutama apabila hujan lebat.

Walaupun kemalangan belum berlaku, penduduk mengakui mereka terpaksa berhati-hati bagi mengelak kejadian buruk, khususnya di kalangan kanak­kanak.

Tinjauan di beberapa tapak projek mendapati pelbagai kelengkapan pembinaan seperti kabin pejabat, pembetung, kayu dan besi buruk berkarat dibiar bersepah hingga menjadi medan penagih dadah melepaskan gian.


Namun, pemaju projek, tidak diketahui kerana tidak kelihatan papan tanda mengenai projek berkenaan.


Bagaimanapun, menurut penduduk antara projek ialah pembinaan rumah dan kondominium serta pelebaran sungai dan loji.

Pemangku Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Miza Shah, berkata projek terbengkalai di atas bukit sejak lebih dua tahun lalu itu dikhuatiri menyebabkan tanah runtuh atau mendapat dan membahayakan deretan rumah berhampiran.

Tanah yang diratakan itu dipercayai untuk pembinaan unit rumah dan kondominium dan pemaju dikatakan terpaksa menghentikan projek seketika bagi memastikan tanah berkenaan benar-benar mendap dan selamat.

"Tanah ini yang dulunya rata sudah banyak berlubang. Jika lubangnya kecil tidak mengapa, lihat sajalah lubang besar akibat hakisan. Kita bimbang jika ada yang terjatuh dalam perangkap lubang ini.

"Setiap kali hujan lebat, air mengalir seolah-olah air terjun. Deras tetapi berlumpur. Rumah berhampiran juga sudah banyak yang retak akibat mendapan tanah dan aliran air yang tidak sempurna. Penghuni bimbang ia mengancam nyawa dan mereka tidak lena tidur terutama ketika hujan lebat.

"Dulu, di hujung bawah bukit ada kolam mata air kurang 10 meter, tetapi kini ia semakin melebar sehingga kira­kira 500 meter dan menakung air seperti lombong dan berbahaya kepada kanak­kanak," katanya.

Tinjauan Sentral juga mendapati, ada sebahagian tanah di lereng bukit berhampiran sudah ditutup dengan plastik bagi mengelak hakisan tanah ketika hujan lebat.

Penduduk, Shahrin Manap, 52, berkata jalan masuk ke kampung yang dibina untuk kenderaan ringan kira-kira enam tan kini bebas dilalui lori seberat hingga 30 tan yang mengangkut pasir menyebabkan jalan rosak.

Katanya, pemandu lori juga memandu laju serta membahayakan kanak-kanak yang menunggang basikal dan berjalan kaki.

Nekmat Mamat, 60, pula berkata,tahun lalu, beberapa rumah penduduk dilanda banjir berikutan sungai berhampiran tidak mampu menampung air yang melimpah selepas kerja pembinaan di kawasan itu menyebabkan sungai semakin mengecil.

Sabtu lalu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata kerajaan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap lima syarikat yang memajukan kawasan berdekatan UIAM kerana tidak mematuhi Akta Alam Sekitar dan Akta Parit, Bangunan dan Saliran.

“Beliau berkata, pemaju terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) siap kira-kira dua minggu lagi.

Ketika dihubungi kelmarin, Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan sedang rnenyediakan laporan terakhir, termasuk Kertas siasatan untuk diambil tindakan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan akan mengumumkan tindakan selepas semua laporan disiapkan.

Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemaju yang melakukan projek pembangunan sehingga memusnahkan alam sekitar.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pemaju yang ingkar. Tindakan undang­undang tetap akan diambil untuk menyedarkan pemaju lain supaya tidak melanggar Akta Alam Sekitar," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.