This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penantian 14 tahun berakhir

19/01/2006 Berita Harian

SELAYANG: Penantian selama 14 tahun setinggan Matang Pagar, Gombak, dekat sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir apabila 527 penduduk di situ ditawarkan menduduki penempatan semula di Blok G, F dan H Taman Matang Jaya, Mukim Rawang.

Penduduk berkenaan akan berpindah ke kediaman baru itu dalam tempoh terdekat sebaik urusan jual beli rumah berkenaan selesai.

Impian memiliki rumah sendiri menjadi nyata selepas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih projek perumahan berkenaan pada 2003 selepas pembinaannya tertangguh sejak 1992 disebabkan tiga kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan.

Pegawai Daerah Gombak, Tarmedi Omar, berkata sebanyak 360 surat tawaran sudah dikeluarkan kepada peserta yang layak melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan sehingga kini hanya
310 peserta menerima tawaran itu.

Beliau berkata, sebanyak 50 unit lagi masih tidak dituntut peserta dan pihaknya hanya membuka kepada mereka selama sebulan daripada tarikh yang ditetapkan bermula 19 Januari ini.

"Sekiranya tiada peserta datang pada tarikh itu, kita anggap mereka tidak berminat untuk menduduki kediaman itu.

"Kita juga akan mengemukakan senarai nama yang menolak untuk dibatalkan dan mengeluarkan tawaran semula kepada peserta lain yang layak melalui Majlis Mesyuarat Negeri," katanya yang ditemui pada Hari Pengundian Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Matang Jaya di Pejabat Daerah Gombak di sini, semalam.

Tarmedi berkata, projek RKR yang berharga RM28,000 seunit itu adalah projek terakhir kediaman dalam bentuk rumah teres yang dibina selepas sekian lama terbiar.

Majlis pengundian yang diadakan selama dua hari bermula semalam turut dihadiri Adun kawasan Paya Jaras, Muhammad Bushro Mat Johor dan Adun Batu Caves, V Jagharasah.

Sementara itu, Tarmedi berakta, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Selayang bagi mencapai sasaran setinggan sifar di negeri itu yang dijangka akan berakhir pada Jun depan.

"Sehingga kini sebanyak 60 peratus setinggan di kawasan selayang sudah dihapuskan dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.