This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli buntu rumah terbengkalai 10 tahun
Utusan Malaysia 3/1/2006

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Lagi projek rumah terbengkalai. Kali ini melibatkan 47 unit rumah kos sederhana dua tingkat di Taman Kencana, Fasa 3, Ampang yang terbengkalai sejak 10 tahun yang lalu.

Projek rumah bernilai RM103,000 setiap unit itu sepatutnya siap pada 1995 kini pada tahap 30 peratus sahaja apabila pemaju projek itu bermasalah pada 2002.

Projek itu diletakkan di bawah pegangan Jabatan Pemegang Harta, menyebabkan masalah pembeli menjadi bertambah rumit apabila mereka terpaksa membayar balik pinjaman bank.

Para pembeli yang resah dan kecewa, baru-baru ini telah membuat aduan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Kiat di pejabatnya, di sini, meminta beliau campur tangan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut Tee Kiat, beliau difahamkan, projek tersebut kini sedang dalam proses untuk diambil alih oleh pemaju baru dengan syarat setiap pembeli perlu menambah RM55,000 pada perjanjian jual beli yang baru.

Beliau berkata, pihak bank dan pembeli telah bersetuju dengan syarat itu.

"Masalahnya, Pegawai Penerima dari Jabatan Pemegang Harta memberikan pelbagai alasan untuk tidak hadir bagi menyelesaikan perkara ini," tegasnya.

Tee Kiat menegur sikap jabatan tersebut yang sepatutnya telah lama bekerjasama menangani isu berkenaan.

Justeru, beliau berhasrat akan bersemuka dengan pihak terbabit bagi membela nasib pembeli dalam masa terdekat.

Seorang pembeli, Husin Abdul Ghani, 56, ketika ditemui berkata, dia kecewa kerana terpaksa berpindah sebanyak empat kali dalam tempoh 10 tahun.

"Saya menghabiskan RM800 untuk menyewa rumah lain sedangkan pada masa itu saya sepatutnya sudah mendiami rumah baru," katanya yang merupakan bekas kakitangan di Telekom Malaysia.

K. Nadarajah, 45, pula berkata, akibat daripada projek yang terbengkalai sekian lama itu, tapak tersebut kini telah menjadi penempatan pekerja asing.

"Pendatang asing dengan sewenang-wenangnya menjadikan rumah kami sebagai markas mereka. Mereka telah mendiami rumah kami dengan memasang sendiri dinding-dinding malah membuat sambungan elektrik dan air sedangkan kami pula tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.