This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pegawai MPAJ pantau tanah runtuh 24 jam

Berita Minggu 15/1/2006

KUALA LUMPUR: Lapan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ditugaskan secara bergilir selama 24 jam bagi memantau bukit berhampiran Taman Bukit Pandan, Cheras, di sini selepas kejadian tanah runtuh yang menimpa dua rumah teres petang kelmarin.

Jurucakap MPAJ ketika berkata, pihaknya akan memastikan kawasan bukit yang sedang dibangunkan untuk projek pangsapuri itu dipantau 24 jam secara bergilir-gilir mengikut syif.

“Arahan dikeluarkan selepas kejadian tanah runtuh mengakibatkan kerosakan teruk dua rumah teres dua tingkat di Jalan Bukit Pandan 3 dihempap batu besar kelmarin.

“Bagaimanapun, pemaju sedang memasang jaring dan pagar keselamatan pada bukit berkenaan bagi mengelak lebih banyak runtuhan,” katanya semalam.

Dalam kejadian jam 7 petang kelmarin, empat batu besar menghempap bahagian belakang rumah itu menyebabkan dinding, tingkap serta pintu dapur rosak teruk.

Bagaimanapun, rumah berkenaan tidak berpenghuni selepas tujuh keluarga dipindahkan pada 4 Januari lalu dan ditempatkan di sebuah hotel berhampiran sebagai langkah keselamatan.

Jurucakap itu berkata, anggota MPAJ turut memantau kerja pembersihan dan pemasangan kelengkapan keselamatan oleh pemaju.

“Pemaju juga sudah memasang lampu malam tadi supaya kawasan berkenaan terang berbanding pada hari kejadian,” katanya.

Tinjauan di kawasan itu mendapati bukit setinggi kira-kira lima tingkat bangunan itu terletak kurang 10 meter dari kawasan perumahan.

Seorang penduduk di kawasan itu, Lee Hock Chuan, 48, berkata tapak projek di kawasan bukit itu dimulakan sejak dua bulan lalu.

Beliau yang mendiami kawasan berkenaan sejak satu setengah tahun lalu berkata, keluarganya serta jiran hidup ketakutan kerana bimbang kejadian sama berulang.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang Jaya, Datuk Ong Tee Keat, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan sudah menerima laporan mengenai kejadian daripada pemaju projek perumahan berkenaan, semalam.

Setiausaha sulitnya, Teng Tien Meng, berkata Ong meminta pemaju mengambil tindakan susulan bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Pemaju dan anggota MPAJ juga diminta membuat pemantauan dan mengambil langkah proaktif untuk keselamatan penduduk,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.