This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Empat tahun tunggu CF
Berita Harian 9/1/2006

PUCHONG: Penantian empat tahun kira-kira 4,000 penduduk Taman Saujana Puchong, di sini untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) bagi rumah mereka ternyata belum berakhir.

Penduduk mendakwa, pemaju bukan saja berdolak-dalik dan tidak bertanggungjawab mengenai pemilikan CF berkenaan tetapi turut mengabaikan kemudahan infrastruktur awam di kawasan kediaman itu.

Lebih malang, rayuan penduduk terbabit yang dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mendapatkan penyelesaian ditolak dengan alasan kawasan terbabit belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa. Penaja Persatuan Penduduk, Martin Lim, berkata penduduk mengharapkan keprihatinan MPSJ dalam membantu menyelesaikan masalah itu selepas pemaju terus bersikap lepas tangan berhubung pemilikan CF.

Beliau berkata, pihaknya yakin MPSJ dapat mendesak pemaju menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi penduduk sejak empat tahun lalu.

Katanya, masalah utama yang dihadapi penduduk ialah CF sementara yang sudah tamat tempoh Februari 2003.

Keadaan itu menyebabkan pihak insurans tidak akan membayar pampasan jika berlaku kecemasan
kerana status CF tidak diketahui.

"Kami membayar cukai pintu RM380 setahun kepada MPSJ. Dalam hal ini, kami cuma minta MPSJ
melaksanakan tanggungjawab sosial membantu kami yang diabaikan pemaju.

"Sudah banyak kali kami buat aduan kepada pemaju, tetapi tiada maklum balas. Apatah lagi jika mahu mengaturkan sebarang pertemuan," katanya di sini, semalam.

Lim berkata, sebahagian besar kediaman dan rumah kedai di kawasan itu mengalami keretakan serius selain beberapa projek bangunan terbengkalai sejak sekian lama.

Beliau berkata, penduduk bimbang jika perkara tidak diingini seperti runtuhan berlaku sekali gus mengancam keselamatan sekeluarga.

Tinjauan Sentral mendapati jalan utama Taman Saujana Puchong yang melalui Bandar Bukit Puchong itu sangat berbahaya, sempit dan berlopak selain dipenuhi batu halangan. Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa menanggung risiko ditimpa kemalangan.

Jalan terbabit juga dikongsi dengan lori tanah yang membawa bahan binaan ke projek perumahan bersebelahan iaitu Taman Mutiara Indah Puchong.

Penduduk, Zainol Aswaddy Mohamed Yusuf, 33, berkata sistem perparitan juga tidak diselenggara dengan sempurna menyebabkan longkang utama ke kolam tadahan di Jalan SP9/9 banjir dan berbau busuk.

Katanya, lampu jalan pula rosak dan tidak diperbaiki sejak lima bulan lalu.

"Kami khuatir jika keadaan ini berlarutan ia akan membahayakan keselamatan penduduk. Setakat ini lebih 60 kes kecurian dan pecah rumah dilaporkan.

"Saya yang mewakili Persatuan penduduk Seksyen 9 Taman Saujana Puchong sudah menghantar memorandum kepada MPSJ, pemaju dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tetapi tiada
jawapan," katanya.

Raja Abdul Rahman Raja Bashah, 37, berkata penduduk juga terpaksa menahan bau busuk setiap hari berikutan pembuangan sampah di kawasan itu tidak diselenggara dengan baik.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.