This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Cukai pintu naik
Utusan Malaysia 9/1/2006

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa buah negeri mula menaikkan cukai pintu di kawasan masing-masing mulai 1 Januari lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kadar kenaikan adalah antara 0.1 peratus dan 1.1 peratus bergantung kepada kategori kediaman atau perniagaan.

Antara negeri yang menaikkan cukai tersebut ialah Pulau Pinang, Selangor dan Pahang manakala negeri-negeri lain juga dijangka melakukan tindakan yang sama dalam tempoh terdekat.

Alasan kenaikan tersebut ialah ia sudah lama tidak dinaikkan selain untuk menampung kos perkhidmatan yang semakin meningkat.

Perkhidmatan yang disediakan oleh PBT antara lain ialah prasarana, kerja-kerja penyenggaraan, pembersihan, angkut sampah dan pelbagai perkhidmatan lain.

Kenaikan itu melibatkan cukai pintu bagi rumah kediaman dan premis swasta.

Orang ramai berharap kadar kenaikan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan tidak digunakan secara membazir, termasuk projek-projek pengindahan yang keterlaluan.

Di Lembah Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menaikkan cukai taksirannya tidak melebihi lapan peratus mulai tahun ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Za'ba Che Rus berkata, kenaikan itu adalah yang pertama dalam tempoh sembilan tahun, berikutan kadar tahunan sewa bangunan yang meningkat berkali ganda dalam tempoh tersebut.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula menaikkan cukai pintu dari 5 ke 5.5 peratus untuk kediaman, dari 6 ke 6.6 peratus (perniagaan) dan dari 6 ke 7.1 peratus (industri).

"Kita sudah dan akan terus memaklumkan peningkatan ini kepada warga kita dari semasa ke semasa,'' kata Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad kepada Utusan Malaysia
hari ini.

Bagi Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kenaikan yang diputuskan adalah lapan ke 8.6 peratus bagi kediaman, per-niagaan dari 10 ke 10.6 peratus dan tanah industri dari 12 ke 13 peratus.

Yang Dipertuanya, Zainal Abidin Azim berkata, mereka yang tidak berpuas hati boleh membuat bantahan kepada pihaknya selewat-lewatnya 13 Januari ini.

Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih mengekalkan cukai pintu seperti tahun sebelumnya.

Di PULAU PINANG, cukai pintu bagi kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dinaikkan antara 0.1 hingga 0.7 peratus berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, cukai pintu bagi premis industri dan hotel dinaikkan sebanyak 0.7 peratus daripada 12.8 peratus tahun lepas kepada 13.5 peratus.

Cukai pintu bagi premis perdagangan dan kediaman bertanah pula naik 0.5 peratus masing-masing
daripada 9.8 peratus dan 7.8 peratus kepada 10.3 peratus dan 8.3 peratus.

Bagi kediaman strata, cukai pintu dinaikkan daripada 7.2 peratus kepada 7.5 peratus manakala kediaman kos rendah dinaikkan daripada 6.8 peratus kepada tujuh peratus.

Di PAHANG, kenaikan kadar cukai pintu sebanyak 0.5 peratus pada tahun ini dikatakan tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berikutan terpaksa menanggung kos perkhidmatan awam yang cukup tinggi.

Yang Dipertua MPK, Datuk Muhammad Saffian Ismail berkata, hasil pendapatan daripada cukai pintu tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan tinggi yang terpaksa ditanggung oleh MPK bagi memastikan kemudahan dan perkhidmatan awam berada pada tahap terbaik.

"Walaupun kita menerima banyak rungutan daripada penduduk ekoran kenaikan cukai pintu, tetapi MPK perlu melaksanakannya juga walaupun ia sebenarnya tidak membantu meringankan
beban yang kita tanggung,'' katanya.

Menurutnya, kenaikan kadar cukai pintu yang dikenakan oleh MPK adalah daripada 7.5 peratus kepada 8 peratus.

Beliau berkata, pihaknya memohon kadar peratusan yang lebih tinggi, tetapi kerajaan negeri hanya membenarkan MPK menaikkan bayaran cukai pintu hanya sebanyak 0.5 peratus.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.