| 
     TNB perjelas aduan pengguna 
    29/09/2005
    Berita Harian  
     
    KAMI merujuk kepada aduan `Tamjas’ dari Pontian, Johor bertajuk ‘Rumah siap, 
    air tiada’ yang disiarkan pada 14 September lalu berhubung rumah yang beliau 
    beli dan sudah mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) tetapi tidak disediakan 
    kemudahan elektrik dan air. 
     
    Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor mengucapkan terima kasih di atas aduan 
    terbabit. Untuk makluman pengadu, di daerah Pontian ada beberapa projek 
    perumahan yang dalam pelaksanaan dan menunggu bekalan elektrik, antaranya 
    ialah Taman Jasa dan Taman Kencana. 
     
    Bagi Projek Perumahan Taman Jasa, TNB bersedia untuk menyalurkan bekalan 
    elektrik ke taman perumahan berkenaan sejak Jun lalu di mana pencawang 
    elektrik sudah dimulakan tugas pada 1 Jun.  
     
    Begitu juga dengan Projek Perumahan Taman Kencana, pencawang elektrik di 
    taman perumahan berkenaan beroperasi pada 18 Julai. 
     
    Pembeli diharap dapat berurusan dengan pihak pemaju bagi mendapatkan surat 
    pembayaran deposit bekalan elektrik di mana pembayaran deposit boleh dibuat 
    di TNB Pontian. Kami akan memasang jangka selepas menerima pembayaran 
    deposit, seterusnya bekalan elektrik akan dapat dinikmati oleh pihak pembeli. 
     
    Menjadi tanggungjawab TNB memberikan bekalan berterusan dan perkhidmatan 
    terbaik. 
     
    MOHAMMAD MOKHTAR ALI 
    Pengurus Besar Negeri Johor, 
    Bahagian Pembahagian TNB.  |