| 
     Pemaju janji bayar segera 
    pampasan  
    KOSMO 23/9/2005 
     
    SUBANG JAYA - Kira-kira 500 pembeli rumah di projek Pangsapuri Daisy, Taman 
    Subang Perdana di sini boleh menarik nafas lega kerana masalah pampasan 
    daripada kelewatan pemaju menyiapkan projek berkenaan telah mendapat 
    perhatian kerajaan negeri. 
     
    Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Datuk Mohd. 
    Mokhtar Ahmad Dahlan yang dihubungi oleh KOSMO! memberi jaminan bahawa 
    masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin. 
     
    Ini kerana, katanya, wakil pihak pemaju, Westcourt Corporation Sdn. Bhd. 
    sendiri telah menemui beliau untuk membincangkan masalah berkenaan semalam. 
     
    "Pemaju jumpa saya semalam (kelmarin) dan mengaku bertanggungjawab serta 
    berjanji akan membayar wang pampasan tersebut kepada pembeli secara ansuran. 
     
    "Saya difahamkan hanya 300 daripada hampir 1,000 penduduk pangsapuri ini 
    yang belum mendapatkan wang pampasan seperti yang dijanjikan," katanya. 
     
    Ketika ditanya mengapa kelewatan tersebut berlaku, Mokhtar menjelaskan, ini 
    berpunca daripada syarikat pemaju baru yang mengambil alih projek daripada 
    pemaju sebelumnya. 
     
    "Mereka tiada peruntukan khusus untuk membayar pampasan kepada penduduk yang 
    berjumlah RM5,000 hingga RM25,000. 
     
    "Diharap penduduk terus bersabar, kita akan pastikan pemaju selesaikan 
    masalah penduduk kerana jika tidak mereka akan menghadapi tindakan 
    undang-undang," tambahnya. 
     
    Sehubungan itu, Mohd. Mokhtar berkata, beliau akan mengaturkan perjumpaan 
    antara penduduk dan pemaju bagi membincangkan perkara tersebut dalam tempoh 
    terdekat ini. 
     
    Sementara itu, wakil Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Daisy, Mohd. Nizam 
    Senin, 38, ketika dihubungi melahirkan rasa gembira dengan usaha positif 
    kerajaan negeri mengambil berat kepentingan rakyat. 
     
    "Kita harap melalui perbincangan ini ia akan menyelesaikan masalah penduduk 
    yang sudah lama berjuang bagi mendapatkan keadilan," ujarnya.  |