This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Konsep bina dan jual atasi perumahan terbengkalai diteliti

 24/09/2005 Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Kerajaan akan meneliti pandangan semua pihak mengenai konsep bina dan jual untuk sektor perumahan sama ada patut dilaksanakan di negara ini atau sebaliknya sebagai langkah berkesan mengatasi masalah projek terbengkalai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, semua pihak berhak menyatakan pandangan masing-masing, namun pada akhirnya kerajaan yang akan membuat keputusan mengenainya.

Dalam hal ini, katanya , kerajaan mahu mengimbangi antara tanggungjawab melindungi kepentingan pembeli rumah dan pada masa yang sama tidak mengabaikan peranan yang dimainkan oleh pemaju dalam menyediakan perumahan untuk rakyat.

"Saya dengar pandangan daripada pelbagai pihak tetapi Kabinet yang akan membuat keputusan selepas meneliti cadangan tersebut.

"Kertas kabinet mengenainya telah hampir siap," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Pameran Hartanah (MAPEX) 2005, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) terhadap cadangan kerajaan untuk melaksanakan konsep bina dan jual untuk sektor perumahan.

Presiden Rehda, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip sebelum ini berkata, langkah itu akan memberikan kesan negatif yang besar bukan saja kepada industri pembinaan rumah, malah industri yang menyokongnya.

Beliau memberi amaran industri pembinaan rumah akan mengecut kerana pemaju kecil terpaksa gulung tikar kerana tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk membina rumah sebelum boleh menjualnya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan, ia tidak sepatutnya dijadikan syarat mandatori, sebaliknya memadai dijalankan secara selari dengan sistem yang diguna pakai ketika ini.

"Terpulang kepada pembeli sama ada mereka mahu membeli yang telah siap atau sebaliknya. "Ketika ini, di pasaran terdapat banyak rumah siap yang ditawarkan kepada mereka," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pembeli Rumah (HBA) telah mendesak kerajaan melaksanakan konsep bina dan jual untuk sektor perumahan bagi mengatasi masalah projek terbengkalai sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada pembeli.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Ting berkata, sebanyak 12,709 kes daripada 14,231 kes yang didaftarkan ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) sejak 2003 hingga bulan lalu berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat 112 pemaju yang masih enggan mematuhi perintah tribunal tersebut.

Berikutan itu, katanya pihaknya sedang dalam proses untuk mengheret para pemaju berkenaan ke mahkamah atas tuduhan menghina mahkamah.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.