| 
     Isu rumah terbengkalai tidak 
    berkesudahan  
    28/09/2005
    BERITA HARIAN   
     
    AMPAKNYA kes rumah terbengkalai masih berterusan dan tidak tahu bila akan 
    selesai kerana tiadanya penyelesaian yang kukuh diambil. Saya melihat ramai 
    individu yang tertindas dalam isu rumah terbengkalai ini.  
     
    Bayangkan jika satu taman perumahan yang terbengkalai ada 200 pembeli, 
    bermakna ada 20,000 rakyat yang tertindas dan tidak mendapat pembelaan 
    dengan andaian ada kira-kira 100 kawasan taman perumahan yang terbengkalai 
    di Malaysia. 
     
    Isu ini tidak akan selesai selagi tiadanya tindakan penyelesaian yang bernas 
    dijalankan oleh kerajaan dan semua pihak. Antara cadangan yang boleh kita 
    fikirkan bersama ialah peranan yang boleh dimainkan oleh media iaitu dengan 
    memaparkan isu ini di dada akhbar. 
     
    Ini satu cara pantas untuk menggesa pihak yang bertanggungjawab seperti 
    pemaju untuk menyelesaikan perkara terbabit secepat mungkin. Selain itu, 
    semua pembeli harus bersatu dan mengambil tindakan undang-undang mengikut 
    saluran yang betul selepas mendapat khidmat nasihat melalui tribunal 
    pengguna mahupun pihak guaman. 
     
    Bagaimanapun, jika hanya pihak pembeli saja yang bertindak tanpa kerjasama 
    dan bantuan kerajaan selaku pentadbir, ia tetap tidak akan selesai.  
     
    Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dan campur tangan dalam 
    masalah ini dengan bertindak membekukan atau tidak memberi kelulusan untuk 
    projek perumahan baru selagi pemaju berkenaan tidak menyiapkan projek mereka 
    yang terbengkalai.  
     
    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga diminta mengeluarkan 
    senarai utama pemaju dan syarikat serta ahli lembaga pengarah yang mempunyai 
    projek perumahan terbengkalai dalam laman web mereka.  
     
    Ia akan memudahkan pembeli baru menyemak laporan berkenaan terutama secara 
    on-line bagi mengetahui adakah pemaju bagi kawasan perumahan baru yang 
    hendak mereka beli, masih mempunyai projek terbengkalai atau tidak.  
     
    Sebagai rakyat dan pengguna di Malaysia, kita tidak mahu pemaju terus buat 
    projek baru, gunakan duit projek baru ini untuk siapkan projek yang 
    terbengkalai.  
     
    Selain itu, kerajaan negeri seharusnya menggalakkan pembeli membeli rumah 
    yang siap dibina.  
     
    Sebagai contoh, kita boleh lihat di kawasan Seremban dan Senawang di mana 
    banyak rumah siap di bina dan dijual pada harga yang berpatutan.  
     
    Mungkin kerajaan Negeri Sembilan boleh menjadi perintis bagi menyelesaikan 
    perkara ini. Saya yakin jika langkah ini dilakukan dengan sebaik mungkin 
    dengan kerjasama semua pihak sama ada pihak kerajaan, individu yang terbabit 
    serta pihak pemaju berkenaan, maka isu rumah terbengkalai dapat diselesaikan. 
     
    NORWANI AHMAT, 
    Seremban, Negeri Sembilan.   |