This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

HBA syor kaedah baru beli rumah
Berita Minggu 04/09/2005

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah (HBA) menggesa kerajaan memansuhkan konsep pembelian rumah beli dan siap seperti yang wujud sekarang dan menggantikannya kepada konsep 10:90 iaitu pembeli membayar pendahuluan 10 peratus dan 90 peratus lagi selepas rumah siap.

Naib Presiden HBA, Brigadier General (B) Datuk Goh Seng Toh berkata, kerajaan perlu meminda Akta Pemaju Perumahan 1972 yang lebih memihak kepada pemaju daripada pembeli.

Katanya, kerajaan juga boleh menggubal akta baru bagi menetapkan hanya konsep pembelian rumah 10:90 dan bina dan jual saja dibenarkan berbanding jual dan bina yang diamalkan ketika ini.

"Ini penting kerana setiap tahun jumlah projek terbengkalai bertambah, begitu juga mangsa iaitu pembeli rumah yang terpaksa membayar pinjaman kepada bank.

"Menerusi konsep bina dan jual serta 10:90 ini, masalah rumah terbengkalai tidak akan berlaku dan pembeli tidak lagi menanggung kerugian perniagaan yang dialami pemaju perumahan dan bank," katanya dalam sidang akhbar khas mengenai pertemuan HBA dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Isnin lain, di sini, semalam.

Goh berkata, konsep 10:90 yang boleh digandingkan bersama konsep 'bina dan jual', adalah bagi melindungi hak pembeli daripada ditindas.

Katanya, kebanyakan kes yang dirujuk kepada persatuan itu mendapati pembeli kerugian dan menanggung beban hutang tanpa dapat menduduki rumah kerana pemaju gulung tikar.


"Masalah gulung tikar atau pengurusan syarikat pemaju bertukar bukan masalah pembeli,"
katanya.

Beliau menjelaskan konsep itu juga dijangka akan menyebabkan pemaju perumahan meningkatkan kualiti kerja pembinaan rumah kerana apabila pembeli membayar 10 peratus sudah ada perjanjian yang menyatakan jika pembeli tidak puas hati bayaran 10 peratus perlu dipulangkan kembali.

Katanya, sekiranya pemaju gagal menyiapkan rumah mengikut syarat dalam Perjanjian Jual Beli, pembeli mempunyai hak untuk membatalkan kontrak dan mendapat balik wang pendahuluan berserta faedah jika ada.

"Saya percaya konsep 10:90 ini akan menyebabkan lebih ramai orang akan membeli rumah seterusnya meningkatkan jumlah pelaburan hartanah dalam negara.

"Ketika ini, orang ramai ada yang takut membeli rumah kerana berisiko tinggi akan terbengkalai. Lagipun, konsep ini menyebabkan pembeli terpaksa mengeluarkan sejumlah wang secara ansuran walaupun rumah yang dibina belum disiapkan," katanya.

Beliau juga menjelaskan konsep 10:90 ini tidak berisiko tinggi kerana ia mengemukakan konsep pembangunan projek perumahan sebagai kerjasama yang tidak boleh dipandang ringan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.