This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

HBA sifatkan bajet mesra rakyat
11/09/2005 Berita Harian

PERSATUAN Pembeli Rumah (HBA) menyifatkan Bajet 2005 sebagai bajet mesra dan prihatin rakyat khasnya kepada golongan berpendapatan rendah.


Setiausaha Agung persatuan itu, Chang Kim Loong, berkata Bajet 2005 yang turut memperuntukkan sejumlah wang untuk pembangunan Projek Perumahan Rakyat diharap dapat membasmi masalah setinggan dan mencapai matlamat bebas setinggan menjelang 2005.


"Ini adalah bajet penyayang yang mana teras kerajaan ialah menjaga kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Roslan Awang Chik, berkata walaupun peruntukan RM500 juta bagi projek penyelenggaraan kepada kontraktor kelas F dianggap tidak mencukupi namun ini dilihat mampu memberi nafas baru kepada golongan berkenaan kerana 99 peratus daripada 34,000 kontraktor kelas F adalah Bumiputera.


Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kontraktor kelas F tidak terus terpinggir.


Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu memantau peruntukan yang diagihkan supaya manfaat itu tidak hanya dinikmati golongan tertentu saja.


Bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata pemaju perumahan swasta perlu diberi pengecualian cukai bagi pembinaan projek rumah kos rendah dan mampu dimiliki.


Beliau berkata, Rehda akan cuba membantu kerajaan untuk membasmi masalah setinggan melalui pembinaan rumah kos rendah.


Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua PKMM Cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, berkata langkah memberi peluang kepada Kontraktor Kelas F menyelenggara bangunan kerajaan di luar bandar membuktikan kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada kontraktor kecil yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga kecil Bumiputera yang memerlukan bantuan.


Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Goh Chye Koon, menyokong cadangan kerajaan untuk memberi pengecualian levi sepenuhnya kepada syarikat pembinaan yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) melebihi 50 peratus.


"Ini akan memastikan produktiviti lebih tinggi, mengurangkan kerja di tapak dan memastikan tempoh pembinaan lebih pendek di samping mengekalkan kualiti penyampaian serta mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing," katanya dalam satu kenyataan akhbar.


Di ALOR STAR, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Bashah Md Hanipah, berkata peruntukan perumahan dalam Bajet 2005 dapat membantu kerajaan negeri membina lebih banyak rumah kos rendah, menjelang 2010.


Katanya, kerajaan negeri menganggarkan sebanyak 40 peratus daripada 200,000 unit rumah akan dibina khusus untuk rakyat miskin di seluruh negeri yang kebanyakannya tinggal di kawasan setinggan seperti di pesisiran sungai.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.