| 
     HBA kemuka cadangan baru 
     
    05/09/2005 kOSMO  
     
    KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) mencadangkan supaya 
    kerajaan melaksanakan sistem "Bina dan Jual 10:90" bagi mengatasi masalah 
    pembeli ditipu pemaju sehingga menyebabkan projek perumahan terbengkalai. 
     
    Timbalan Presiden HBA Brigedier Jeneral (B) Datuk Goh Seong Toh berkata, 
    melalui sistem itu, pemaju tidak boleh menggunakan wang tempahan 10 peratus 
    daripada harga rumah yang dibayar pembeli semasa projek dilancarkan 
    sebaliknya disimpan oleh peguam menerusi satu akaun khas apabila 
    menandatangani perjanjian jual-beli rumah. 
     
    Katanya, pemaju hanya boleh mengambil wang tempahan itu berserta faedah yang 
    terkumpul dan baki harga rumah yang perlu dijelaskan apabila projek 
    perumahan siap dibina untuk diserahkan kepada pembeli. 
     
    "HBA merayu kepada kerajaan supaya menukar konsep pembelian dan penjualan 
    rumah sedia ada kerana konsep itu telah menyusahkan ramai pembeli rumah yang 
    terpaksa berhadapan dengan kerenah dan ditipu pemaju projek perumahan 
    selepas mendapatkan wang," katanya pada persidangan akhbar di pejabat HBA di 
    sini semalam. 
     
    Goh berkata, ramai pembeli rumah kini menanggung beban kewangan dan 
    menghadapi tekanan psikologi kerana pembinaan rumah yang dibeli terbengkalai. 
     
    Penasihat HBA, Datuk Seri Yuen Yuet Leng yang turut hadir pada persidangan 
    itu berkata, konsep baru yang dicadangkan persatuan berkenaan menyamai 
    konsep membeli kereta bagi mengurangkan masalah yang dihadapi pembeli. 
     
    Katanya, masalah projek perumahan terbengkalai yang telah mencecah kerugian 
    lebih RM7 billion sepanjang tahun lepas boleh melumpuhkan ekonomi negara 
    apabila pembeli takut kemungkinan berhadapan dengan masalah ditipu pemaju 
    dan rumah tidak siap. 
     
    Seorang lagi Penasihat HBA, Ernest Cheong berkata, Kementerian Perumahan 
    dan Kerajaan Tempatan hendaklah lebih prihatin terhadap masalah yang 
    dihadapi pembeli rumah. 
     
    Beliau mencadangkan pembeli yang berhadapan masalah projek rumah 
    terbengkalai berjumpa dengan wakil rakyat mereka mengenai masalah yang 
    dihadapi supaya perkara itu dapat dibawa ketengah.   |