This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tiada lagi rumah satu bilik
Berita Harian 4/8/2005

KUALA LUMPUR: Bagi kawasan tanah terhad seperti di Kuala Lumpur, kewujudan bangunan kediaman tinggi mencakar langit adalah fenomena biasa kerana permintaan tinggi daripada warga kota.


Sejarah kewujudan rumah kos rendah bermula kira-kira 36 tahun lalu dengan pembinaan Perumahan Awam Razak Mansion di Sungai Besi bagi menempatkan golongan berpendapatan rendah.


Ketika itu kebanyakan rumah pangsa dibina hanya memiliki satu bilik bagi melaksanakan dasar kerajaan melalui Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) untuk menempatkan semula setinggan.


Antara rumah pangsa kos rendah tertua dibina di ibu kota ialah Rumah Pangsa Melati pada 1958 di Persimpangan Jalan Shaw/Jalan Loke Yew yang memiliki 220 unit kediaman dua bilik.


Melalui Housing Trust, kerajaan kemudian membina rumah pangsa 12 tingkat dengan 216 unit kediaman dua bilik dan 44 unit satu bilik di Lorong Gombak membabitkan kos RM2.4 juta.


Pada 1967, rancangan penyediaan perumahan rumah kos rendah diteruskan engan pembinaan Rumah Pangsa Jalan Pekeliling atau Perumahan Awam Tunku Abdul Rahman (TAR) dengan 2,969 unit kediaman.


Tetapi kini perubahan taraf hidup menyebabkan rumah pangsa satu bilik tidak lagi sesuai dengan keperluan terutama bagi mereka yang memiliki keluarga besar.


Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membangunkan semula Rumah Pangsa Jalan Pekeliling yang dijangka siap sepenuhnya pada 2006.


Penyewa rumah pangsa itu akan dipindah ke Sri Rampai I dan II dan bangunan kediaman berkenaan akan digantikan dengan pembinaan kediaman komersial dan sistematik dikenali Taman Sari.


Sementara itu, Kementerian Wilayah Persekutuan pada Februari lalu mengumumkan akan menjadikan Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng sebagai projek perintis dua kediaman satu bilik yang digabungkan menjadi tiga bilik.


Projek yang dianggarkan menelan belanja antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi mengubah suai satu unit kediaman akan dilaksanakan di semua 9,111 unit kediaman rumah pangsa kos rendah satu bilik apabila mendapat peruntukan melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.