This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju wajib sediakan tapak khas tanam pokok
Utusan 20/8/2005

SELAYANG 19 Ogos - Kerajaan Selangor akan mewajibkan semua pemaju perumahan di negeri itu menyediakan tapak khas bagi membolehkan pemilik rumah menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok bermula tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd. Khir Toyo berkata, arahan itu adalah bagi menjayakan 'Kempen Satu Rumah Satu Pokok' yang mana setiap penduduk di negeri itu akan dibekalkan sebatang pokok untuk ditanam di rumah masing-masing.

Beliau berkata, sempena kempen yang akan dilancarkan pada tahun depan itu juga, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menghiasi kawasan pentadbiran mereka dengan pokok­pokok yang akan dikenal pasti kelak.

"Bagi penduduk yang tinggal di rumah pangsa pula, kita galakkan tanam (pokok) di kawasan lapang berhampiran kediaman mereka dengan meletakkan tanda nama pada tanaman masing-masing.

"Kita harap dengan cara itu, kita dapat didik masyarakat untuk lebih menghargai alam sekitar," katanya selepas merasmikan Hari Pengguna Peringkat Negeri Selangor 2005 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Hal Ehwal Pengguna Selangor, Datuk Dr. Lim Thuang Seng; Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Abdul Rosik Yakub dan Pegawai Daerah Gombak, Termidi Omar.

Mengulas lanjut, Khir berkata, Jabatan Perhutanan Malaysia sedang mengkaji beberapa jenis pokok yang sesuai untuk ditanam di kawasan-kawasan perumahan dan di lokasi-lokasi tertentu di negeri itu.

"Peruntukan untuk kempen ini sudah disediakan oleh kerajaan negeri, malah kita sedang dalam proses membeli pokok-pokok yang sesuai," ujarnya.

Sementara itu kata beliau, kerajaan negeri akan melancarkan Taman Warisan Selangor yang menempatkan kawasan hutan seluas 113,000 hektar dari Hulu Selangor ke Hulu Langat pada 27 Ogos ini.

Khir berkata, kawasan hutan kekal itu akan diuruskan oleh sebuah badan khas dan sedang giat dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan awam bagi tujuan rekreasi oleh penduduk setempat dan pelancong luar.

"Kawasan ini tidak boleh dibangunkan dan sekiranya ada pihak yang ingin berbuat demikian, mereka perlu menubuhkan satu jawatankuasa awam, iaitu perlu mendapat restu orang ramai," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan tahunan bagi mengurus dan menjaga taman tersebut agar bebas daripada segala bentuk pencemaran dan kemusnahan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.