This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

SPNB sedia nama kontraktor senarai hitam
Utusan 31/7/2005


PUTRAJAYA 30 Julai - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menghantar semua nama kontraktor yang disenarai hitam kepada kementerian-kementerian serta agensi kerajaan lain termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan itu bagi mengelakkan syarikat tersebut turut mendatangkan masalah kepada kementerian atau agensi-agensi kerajaan lain.

``Kami akan menyalurkan nama-nama kontraktor yang disenaraihitamkan kepada kementerian dan agensi-agensi kerajaan lain agar mereka tidak mengambil kontraktor yang sama untuk projek yang hendak dijalankan.

``Perkara ini penting kerana berdasarkan kajian SPNB, kontraktor-kontraktor yang disenaraihitamkan ini kebanyakannya merupakan golongan yang menjual projek yang diperoleh kepada orang lain.

``Selain itu, ada di antara kontraktor-kontraktor ini mengagihkan kerja-kerja yang diberikan kepada sub-sub kontraktor.

``Apa yang menjadi masalah ialah apabila kontraktor utama ini tidak membayar kepada subkontraktor itu apabila kerja-kerja telah disiapkan walaupun SPNB telah membuat pembayaran kepada mereka,'' katanya selepas melepaskan peserta Larian Batik Putrajaya di sini, hari ini.

Kira-kira 4,000 orang terutama penduduk sekitar Putrajaya menyertai larian sejauh antara dua hingga lima kilometer mengikut kategori peserta.

Tengku Adnan berkata, SPNB juga telah menerima arahan daripada kerajaan supaya membantu kontraktor-kontraktor yang berkemampuan melaksanakan projek tetapi menghadapi masalah kewangan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa bantuan itu tidak diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang menjual kontrak-kontrak kerajaan yang diperoleh kepada pihak lain.

``Kontraktor-kontraktor yang gagal menyiapkan projek kerana telah menjualkan kontrak-kontrak yang diberikan kepada orang lain ini akan disenaraihitamkan,'' katanya.

Tengku Adnan menambah, banyak kontraktor yang telah diberi projek-projek khas kerajaan disenaraihitamkan kerana gagal menyiapkan projek itu dalam jangkamasa yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya syarikat milik kerajaan (GLC) tidak bersaing dengan syarikat bumiputera yang berkemampuan dalam melaksanakan projek-projek besar.

Menjelaskan mengenai kegagalan kontraktor utama melunaskan bayaran kepada sub-subkontraktor, beliau berkata, SPNB kini mengambil langkah membayar terus kepada sub-subkontraktor tersebut.

Beliau juga menasihatkan kontraktor-kontraktor supaya tidak mengemukakan tender-tender pada harga terlalu rendah untuk mendapatkan projek-projek SPNB yang akan menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan untuk menyiapkannya.

Kontraktor-kontraktor juga digesa supaya menyiapkan satu-satu projek yang diperoleh sebelum memohon projek- projek lain.

``Ada kontraktor-kontraktor yang memohon dan memperoleh lebih daripada satu projek pada satu-satu masa tetapi kemudian gagal menyiapkannya kerana masalah kewangan dan sebagainya,'' ujarnya.

Tengku Adnan berkata, sebanyak 172 projek bernilai RM3 bilion masih terbengkalai termasuk pembinaan 32,000 unit rumah.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.