This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penghuni pangsapuri mahu meter air individu
Berita Harian 11/7/2005
 


BERI PENJELASAN: Rozaini (kiri) menunjukKan beberapa gambar di sekitar Taman Desa Cheras kepada Ruslan di pejabat Syabas, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 900 keluarga di Pangsapuri Taman Desa Cheras di sini meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menukar meter pukal kepada individu bagi mengelakkan bekalan air dipotong akibat kegagalan pemaju menjelaskan bil air kepada Syabas.

Pemangku Presiden Persatuan Penduduk Taman Desa Cheras, Rozaini Mohd Yusof berkata masalah itu berpunca daripada kelewatan sesetengah penduduk menjelaskan bil air RM50 sebulan kepada pemaju.

“Hanya kerana kira-kira 20 peratus penduduk lewat membayar bil air, pemaju enggan menjelaskan bil kepada Syabas sehingga bekalan air kepada penduduk tergendala.

“Pemaju tidak harus menyalahkan penduduk kerana mereka menghadapi masalah untuk menjelaskan bil air yang hanya sampai enam bulan sekali, lebih-lebih lagi penduduk terpaksa melakukan perjalanan jauh dari Cheras ke pejabat pemaju di Jalan Ampang semata-mata menjelaskan bil air.

“Ia bukan saja memakan masa tetapi membazir duit. Pemaju sepatutnya membuka kaunter perkhidmatan di pejabat pangsapuri. Lagipun bil ini seharusnya diberikan setiap bulan bukan enam bulan sekali,” katanya selepas sesi dialog bersama Syabas di ibu pejabat Syabas, di sini.

Sesi dialog itu dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Ruslan Hassan yang turut dihadiri Pengurus Besar Syabas, V Subramaniam. Taman Desa Cheras meliputi enam pangsapuri 900 unit.

Rozaini berkata penduduk berharap meter pukal ditukarkan kepada individu supaya pembayaran bil dilakukan di kaunter Syabas atau pejabat pos terdekat daripada melalui pemaju yang banyak kerenah.

Katanya, penduduk yang lewat menjelaskan bil air juga dikenakan caj tambahan, sedangkan ia tidak dinyatakan dalam perjanjian antara penduduk dengan pemaju.

“Kebanyakan penduduk sudah tinggal di sini sejak 1992 dan mereka adalah golongan berpendapatan sederhana yang tidak mampu menanggung kos pengangkutan berulang-alik dari Jalan Ampang ke Cheras,” katanya.

Ruslan berkata Syabas masih mengkaji kemungkinan penukaran kepada meter individu kerana ia membabitkan kos tinggi memasangkan paip ke setiap unit pangsapuri.

Pihaknya perlu membincangkan perkara itu dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Penasihat Undang-undang Selangor.

Katanya, masalah yang dihadapi Taman Desa Cheras bukan isu baru, malah Syabas sering menghadapi masalah kegagalan pemaju menjelaskan bil air.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.