This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk kesal lif sering rosak
Berita Harian 20/7/2005

 


MENYUSAHKAN: Penduduk Kondo Rakyat, Pantai Dalam terpaksa menunggu
giliran menaiki satu-satunya lif yang boleh
beroperasi kerana lif lain rosak.


KUALA LUMPUR: Menaiki tangga setiap hari boleh diibaratkan sebagai satu senaman yang menyihatkan tubuh badan serta melancarkan perjalanan darah.

Tambahan pula kehidupan di kota yang sentiasa dibelenggu dengan kesibukan tugas seharian sehingga warga kota tidak berkesempatan melakukan aktiviti senaman dan kecergasan.

Bagaimanapun, menaiki tangga setinggi 20 tingkat setiap hari bukanlah satu perkara yang diinginkan penduduk Kondo Rakyat di Pantai Dalam yang sering kali berdepan masalah kerosakan lif seolah-olah tiada penghujungnya.

Malah, kesukaran itu lebih dirasakan oleh penduduk daripada kalangan warga tua dan kanak-kanak.

Peniaga makanan, Masriam Che Ngah, 46, berkata masalah kerosakan lif di kondo berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama tetapi tidak ada tindakan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun sudah banyak aduan dibuat.

“Sebenarnya masalah ini berpunca daripada sikap segelintir kanak-kanak yang gemar bermain butang lif menyebabkan ia beroperasi tanpa henti sehingga akhirnya rosak.

“Saya juga sering mengalami bengkak kaki kerana terpaksa naik turun tangga setinggi 20 tingkat. Walau tidak berdaya, terpaksa gagahkan juga kerana tiada pilihan lain,” katanya.

Beliau berkata, keadaan lebih mengharukan apabila kadang kala urusan perniagaan terganggu kerana kesukaran membawa barangan jualan turun ke tapak perniagaan di tingkat bawah.

Ditanya mengenai kemungkinan masalah lif berlarutan yang tidak diselenggara dengan baik oleh DBKL berpunca daripada sikap penduduk yang enggan menjelaskan bayaran penyelenggaraan, beliau berkata, penduduk mempunyai sebab mengapa bertindak demikian.

“Ia juga berpunca dari sikap DBKL yang mungkir janji. Perjanjian ketika membeli rumah ini dulu menyatakan bahawa kondo ini akan dilengkapi kolam renang, pengawal keselamatan dan tempat letak kereta yang mencukupi.

“Namun kemudahan yang kami dapat tidak seperti yang termaktub di dalam perjanjian. Sehingga kini juga kami masih belum memperoleh sijil layak menduduki menyebabkan sebahagian penduduk enggan menjelaskan bayaran terbabit,” katanya yang sudah menetap di situ hampir sembilan tahun.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.