This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Senarai hitam kontraktor gagal: PM
BM 26/06/2005 Oleh Mutazar Abd Ghani

GEORGETOWN: "Ini bukan cerita sedih, tapi menyakitkan hati. Banyak masalah timbul ...pembeli rumah sudah bayar itu dan ini, tapi rumah tak siap juga." Ini antara keluhan dan rasa kesal yang diluahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek perumahan terbengkalai yang kini menjadi ‘penyakit’ kepada negara.

Serentak itu, beliau mahu pemaju perumahan dan kontraktor yang gagal menyiapkan projek perumahan yang diamanahkan kepada mereka supaya disenarai hitam.

Langkah tegas seumpama itu, kata beliau memang wajar dalam usaha kerajaan menangani masalah projek terbengkalai daripada menjadi lebih serius.

Perdana Menteri berkata, masalah projek terbengkalai menyebabkan kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan besar kira-kira RM3 bilion bagi memulihkannya, sekali gus menjejaskan usaha pembangunan lain.

"Alasan pemaju tidak menyiapkan projek kerana menghadapi masalah kewangan dan rugi, tidak boleh diterima kerana setiap perniagaan menghadapi masalah naik turun serta untung dan rugi.

"Seperti juga peniaga ikan, ada masanya ikan tak ada. Penoreh getah dan pekebun kelapa sawit juga menghadapi masalah naik turun harga...

"Kontraktor yang ada sekarang banyak sangat, lebih 60,000 syarikat. Kalau ada di kalangan mereka yang tidak boleh laksanakan projek, lebih baik disenarai hitamkan. Mereka pecah amanah kerana tidak selesaikan projek yang diamanahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci kepada pembeli projek perumahan terbengkalai Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, dekat sini semalam.

Taman Seri Bayu yang meliputi 234 unit pangsapuri kos rendah dan 496 kos sederhana rendah adalah antara contoh klasik projek perumahan terbengkalai di negara ini yang mengambil masa lebih 10 tahun untuk disiapkan.

Selepas majlis pecah tanah pada 1992 dan menandatangani perjanjian sewa beli pada 1994, pemaju projek itu beberapa kali bertukar tangan sehingga pelantikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk memulihkannya pada Jun 2003.

Perdana Menteri juga mahu semua projek terbengkalai di seluruh negara yang boleh dipulihkan, dibangunkan segera supaya tidak wujud lagi projek `sakit' dan memalukan.

Katanya, usaha memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak memberi sokongan terhadap usaha Kerajaan Pusat memulihkan projek terbengkalai melalui SPNB, ia akan menimbulkan banyak masalah.

"Projek yang boleh dipulihkan, mesti dipulihkan segera supaya tidak ada lagi projek yang sakit. Malu sungguh kerana ada projek seperti ini," katanya sambil mengingatkan semua kontraktor projek pembangunan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM2.4 bilion supaya memastikan ia tidak terbengkalai.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, sehingga 31 Mei 2005, terdapat 141 projek perumahan terbengkali di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 121 projek sesuai dipulihkan, 11 projek sudah diambil pemaju lain manakala sembilan projek tidak sesuai dipulihkan.

"Krisis ekonomi pada 1997 dan 1998 dikenal pasti antara faktor penyumbang utama kepada masalah projek perumahan terbengkalai apabila banyak pemaju perumahan tidak dapat membayar balik pinjaman kerana kadar faedah yang tinggi," katanya.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.