This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pulih segera projek 'sakit'

Harian Metro 26/6/2005

PULAU PINANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengarahkan semua projek terbengkalai di seluruh negara yang boleh dipulihkan, dibangunkan segera supaya tidak wujud lagi projek 'sakit' di negara ini.


Beliau berkata, kewujudan projek 'sakit' sungguh memalukan dan masalah itu perlu segera diatasi dengan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


"Pada saya, projek yang boleh dipulihkan mesti dipulihkan segera supaya tiada lagi projek 'sakit'. Malu sungguh kerana ada projek seperti ini.


Semua pihak perlu beri sokongan dan kerjasama supaya tidak timbul masalah," katanya.


Berucap merasmikan majlis penyerahan kunci projek terbengkalai Taman Sri Bayu di Bayan Lepas di sini, semalam, beliau berkata jika kerajaan negeri tidak menyokong usaha Kerajaan Pusat memulihkan projek terbengkalai melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), ia akan menimbulkan pelbagai masalah.


Katanya, memandangkan projek terbengkalai masalah serius, kerajaan akan menyenaraihitamkan syarikat pemaju, kontraktor dan individu yang menyebabkan projek yang diusahakan mereka terbengkalai.


"Syarikat kontraktor yang ada sekarang banyak sangat, lebih 60,000 syarikat. Kalau ada di kalangan mereka tidak boleh laksanakan projek, lebih baik senarai hitamkan. Mereka pecah amanah kerana tidak selesaikan projek diamanahkan," katanya.


Abdullah berkata, jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap pemaju dan individu terbabit, ia akan menjadi penyakit dalam industri pembinaan dan merugikan kerajaan kerana perlu memperuntukkan perbelanjaan besar untuk membaikpulih projek terbengkalai.


Katanya, projek terbengkalai, terutama projek perumahan, sudah selalu diperkatakan dengan ada projek mengambil masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.


"Ini cerita yang menyakitkan hati. Bukan cerita sedih. Banyak masalah timbul. Pembeli rumah sudah bayar wang, pemaju tidak bertanggungjawab dan tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab," katanya.


Perdana Menteri berkata, alasan pemaju tidak menyiapkan projek kerana menghadapi masalah kewangan dan rugi tidak boleh diterima kerana setiap perniagaan menghadapi masalah naik turun dan untung rugi.


Katanya, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM3 bilion untuk memulihkan projek terbengkalai, sedangkan peruntukan sebesar itu sepatutnya digunakan untuk pembinaan projek baru lain untuk kemudahan rakyat.


"Tak pasal-pasal kerajaan keluarkan belanja RM3 bilion untuk memulihkan projek 'sakit'. Sepatutnya jumlah sebesar itu boleh digunakan untuk bina projek baru. Ini merugikan kerajaan... tetapi kalau kerajaan tak bantu, rakyat pula bising," katanya.


Sehingga ini, beliau berkata SPNB telah membaik pulih kira-kira 12,000 unit rumah terbengkalai dan masih ada 20,000 unit rumah perlu diperbaiki.


Projek perumahan Taman Sri Bayu yang meliputi 234 unit pangsapuri kos rendah dan 496 unit kos sederhana rendah itu, siap 90 peratus ketika pemaju asal menghentikan pembinaan.


SPNB mengambilalih projek terbengkalai selama 10 tahun itu pada April 2003 dan memulakan kerja pada Ogos 2004.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.