This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk derita MPSJ mungkir janji
 20/06/2005 Utusan Malaysia

SUBANG JAYA 19 Jun - Kira-kira 5,000 penduduk pangsapuri Angsana, Subang Mewah di sini 'menderita' sejak empat tahun lain kerana menunggu pemaju dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan kemudahan seperti dijanjikan.

Bagi penduduk, janji manis kedua-dua pibak untuk menyediakan dewan, surau dan padang permainan yang sempurna seakan-akan seperti menunggu 'buah yang tidak gugur'.

Sikap berdolak-dalik pemaju dan MPSJ mengenai perkara itu telah memburukkan lagi keadaan. Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Angsana, Azmy Awang, 37, berkata, kemudahan asas itu sebenarnya terdapat dalam pelan awal pembangunan.

Menurutnya, tapak pembangunan juga telah disediakan tetapi sehingga kini ia masih belum dibuat.

"Kami telah beberapa kali membuat aduan tetapi yang jadi masalahnya, pemaju mendakwa, ia urusan MPSJ dan MPSJ pula dakwa, ia urusan pemaju.

"Jadi kami yang 'menderita' kerana tersepit di tengah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pangsapuri Angsana merupakan rumah kos rendah mengandungi 12 blok dan empat daripadanya merupakan blok besar. Para penghuninya adalah bekas penduduk setinggan di Kampung Medan, Petaling Jaya.

Azmy juga mendakwa, sikap tidak proaktif wakil jawatankuasa penduduk di kawasan itu juga melambatkan usaha penyediaan kemudahan di Pangsapuri Angsana.

"Tunggu-tunggu tidak dibuat, kami terpaksa membuat sendiri tempat bagi permainan badminton, bola jaring sementara tetapi ia tidak sempurna," jelasnya.

Selain kemudahan asas, katanya, penyelenggaraan dan keselamatan lif, pengurusan sampah dan masalah kecurian, cukup mengecewakan. Samsuri Razal, 35, pula memberitahu, ketiadaan surau di kawasan itu menyukarkan penduduk melaksanakan aktiviti keagamaan.

"Kami terpaksa pergi kira-kira tiga kilometer untuk menumpang Surau Nur Shafie di Subang Permai sedangkan kariah di kawasan itu sendiri pun sudah ramai. Kalau ikut penduduk di sini sepatutnya sudah ada masjid tetapi ini surau pun masih belum dapat dibuat," ujarnya.

Samsuri meminta Jabatan Agama Islam Selangor memandang berat permohonan mereka dan meluluskannya seberapa segera seterusnya memudahkan pihaknya mendapatkan bantuan kewangan bagi tujuan itu.

Bagi Sudirman Jauhari, 28, ketiadaan dewan orang ramai seperti kawasan perumahan lain menyukarkan penduduk di Pangsapuri Angsana mengadakan majlis dan aktiviti-aktiviti sosial.

"Jadi kalau ada majlis seperti majlis perkahwinan kami terpaksa mengosongkan kawasan tempat letak kereta dan ia kawasan terbuka bukan dewan seperti di kawasan perumahan lain," katanya.

Sehubungan itu, mereka mendesak pemaju dan MPSJ lebih bertanggungjawab dalam masalah penyediaan kemudahan asas di kawasan berkenaan dan berharap ia akan dapat diselesaikan segera.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.