This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju projek `sakit' disenaraihitamkan

26/06/2005 utusan.com.my


PULAU PINANG 25 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kerajaan akan menyenaraihitamkan pemaju dan individu yang mengakibatkan sesuatu projek pembiayaannya `sakit' dan terbengkalai.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak akan berkompromi dalam perkara itu kerana kegagalan sesuatu projek bukan hanya menyebabkan program pemulihan menelan berbilion ringgit, malah turut menjejaskan imej kerajaan.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab itu yang turut membabitkan kontraktor sepatutnya tidak timbul kerana banyak badan pembiayaan bersedia menampung kos sesuatu projek.

Beliau menarik perhatian itu kerana kerajaan sendiri terpaksa mengeluarkan RM3 bilion bagi memulihkan projek-projek terbengkalai terutama projek perumahan di seluruh negara melibatkan 172 projek meliputi 32,000 buah rumah.

Dari jumlah itu, 12,000 buah rumah telah disiapkan manakala 20,000 unit lagi masih dalam pembinaan.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga sedang menumpukan usaha memulihkan projek perumahan dan pejabat untuk polis yang menelan peruntukan RM2.4 bilion.

``Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menyusahkan rakyat malah kerajaan turut terkena tempiasnya kerana sering menjadi tempat rakyat melepaskan kemarahan mereka dan ini amat memalukan.

``Malah, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan wang peruntukan untuk kegunaan pihak bertanggungjawab meneruskan semula projek-projek terbengkalai,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penyerahan kunci Projek Perumahan Terbengkalai Taman Sri Bayu di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pengerusi Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

Khamis lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendedahkan kira-kira 80 projek kerajaan bernilai RM8 bilion dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) kini terbengkalai.

Menurut Samy Vellu, semua projek hanya siap antara 50 sehingga 60 peratus berpunca daripada kenaikan harga bahan binaan beberapa kali ganda sehingga menjejaskan kewangan kontraktor terbabit.

Abdullah berkata, dalam usaha memastikan projek-projek terbengkalai dapat dipulihkan segera, semua kerajaan negeri digesa berbincang dengan SPNB bagi mengatasi masalah tersebut.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga sedang mencari langkah terbaik untuk mengatasi masalah itu khususnya dengan mengurangkan jumlah kontraktor sedia ada yang kini mencecah lebih 60,000.

``Dalam aspek ini, kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk membatalkan secara automatik mana-mana syarikat kontraktor yang tidak aktif bagi mengurangkan jumlah itu dan kemudian memberi peluang kepada syarikat yang betul-betul aktif sahaja,'' katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyelar sikap sesetengah penduduk yang gagal menjaga rumah dan persekitaran terutama mereka yang tinggal di kawasan perumahan bertingkat.

Kata beliau, kegagalan menjaga harta yang dikongsi bersama bukan sahaja akan menyusahkan semua penghuni malah kerajaan juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk menampung kos baik pulih kerosakan.

``Untuk kos baik pulih sahaja, sebanyak RM500 juta terpaksa diperuntukkan bagi membaiki kemudahan yang ada walhal duit tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain seperti pembangunan untuk rakyat,'' katanya.

Justeru beliau menasihatkan para penghuni dapat menjaga kemudahan yang disediakan umpama hak milik sendiri.

Projek perumahan Sri Bayu terbengkalai sejak 10 tahun sebelum dipulihkan oleh SPNB.

Bermula daripada pembatalan perjanjian usaha sama antara UDA Holdings Bhd. selaku tuan tanah dan Duniaga Sdn. Bhd. yang gagal melaksanakan tugas-tugas memajukan projek akibat masalah kewangan, ia telah banyak kali beralih tangan.

Lanjutan daripada itu, syarikat JKP Sdn. Bhd. dilantik untuk menggantikan UDA Holdings Bhd. sebagai tuan tanah pada 12 Julai 1995 yang berfungsi sebagai pengurus hartanah milik Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera Jabatan Perdana Menteri di Pulau Pinang.

Ini seterusnya membawa kepada pelantikan Fabina Development Sdn. Bhd. pada 1998 oleh JKP Sdn. Bhd. sebagai pemaju baru untuk menyiapkan projek tersebut.

Namun apabila projek telah mencapai 80 peratus pada 2000, projek tersebut terbengkalai sekali lagi akibat masalah kewangan pemaju sehinggalah pelantikan SPNB oleh Kementerian Kewangan pada 27 Jun 2003 untuk menyambung kembali usaha pemulihan projek tersebut.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.