This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

121 projek rumah dipulih
26/06/2005 Utusan Oleh ZULKIFLI JALIL

PULAU PINANG 25 Jun - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang memulihkan sejumlah 121 daripada 141 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara yang dikenal pasti sehingga 31 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, daripada jumlah keseluruhan projek `sakit' itu juga, 11 projek diambil alih oleh pemaju lain manakala sembilan lagi didapati tidak sesuai dipulihkan.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya telah menyerahkan sebanyak 113 projek yang dilancarkan pada 1980 hingga 1989 dan 44 projek dari 1990 hingga 2004 untuk dipulihkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Katanya, kementerian sentiasa memantau projek-projek yang dilaksanakan oleh SPNB sehingga ia berjaya disiapkan serta Sijil Layak Menduduki (CFO) dikeluarkan kepada pembeli.

``Salah satunya ialah Taman Sri Bayu ini yang dikeluarkan CFO pada 1 April lalu,'' katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Projek Perumahan Terbengkalai Taman Sri Bayu di Bayan Lepas yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Ka Ting berkata, terdapat banyak faktor menyumbang kepada masalah projek perumahan terbengkalai antaranya yang utama ialah krisis ekonomi pada 1997 dan 1998.

``Ia dikenal pasti sebagai faktor penyebab banyak pemaju tidak dapat membayar balik pinjaman kerana kadar faedah yang tinggi.

Bayaran

``Pihak kontraktor pula tidak dapat meneruskan projek kerana kegagalan pemaju melunaskan bayaran manakala bank pembiaya memberhentikan atau menarik balik pinjaman,'' katanya.

Pada masa sama, kata beliau, krisis tersebut menyebabkan pembeli sukar mendapat pinjaman dari bank kerana syarat yang dikenakan terlalu ketat.

Dalam usaha menangani projek terbengkalai, kata Ka Ting, kementeriannya melaksanakan beberapa tindakan proaktif dan seterusnya melindungi kepentingan pembeli.

Antaranya memperketatkan pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) yang mana pemaju yang didapati tidak bertanggungjawab akan dikompaun atau didakwa di mahkamah.

Selain itu, memperketatkan prosedur pengeluaran lesen pemajuan perumahan dengan aspek keupayaan kewangan syarikat diberi perhatian mendalam.

Kata beliau, kini Bahagian Lesen dan Khidmat Nasihat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan merujuk kepada Bahagian Pengawasan dan Penguat Kuasa untuk meneliti semua permohonan lesen dan permit iklan dan jualan sebelum sesuatu permohonan diluluskan.

Kata Ka Ting: ``Kita juga akan menyenaraihitamkan pemaju perumahan dan pengarah-pengarah syarikat, menahan permit iklan dan jualan serta membekukan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) jika mereka didapati menyebabkan projek perumahan terbengkalai.'
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.