This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

1,062 pemaju ingkar
11/06/2005 Berita Harian Oleh Jami’ah Shukri

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,062 syarikat pemaju perumahan di negara ini dikesan gagal membayar tuntutan ganti rugi seperti yang sudah ditetapkan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), membabitkan wang berjumlah RM17.5 juta.

Pengerusi TTPR, Kamardin Hashim, berkata syarikat pemaju perumahan itu dikesan gagal mematuhi arahan berkenaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepanjang tempoh 1 Disember 2002 hingga 31 Mei lalu.

Serentak itu, katanya, semua syarikat yang masih gagal membayar ganti rugi terbabit dalam tempoh yang diperintahkan TTPR, kini berdepan risiko dikenakan tindakan mahkamah serta disenaraihitamkan.

“Kita berharap supaya pemaju yang sudah diperintahkan oleh TTPR untuk membayar ganti rugi, segera berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan tegas,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Mengikut Seksyen 16A (D) Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, pemaju yang ingkar membayar ganti rugi itu dianggap melakukan jenayah dan jika sabit kesalahan boleh denda maksimum RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pemaju yang ingkar membuat pembayaran ganti rugi seperti yang diperintahkan oleh TTPR juga boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari kelewatan hingga arahan itu dipatuhi.

Bagaimanapun, katanya, perangkaan itu tidak menggambarkan jumlah sebenar bayaran ganti rugi keseluruhan kes kerana ada sesetengahnya diselesaikan di luar mahkamah serta tidak dimaklumkan kepada TTPR.

Selain itu, katanya, sebilangan kes yang diselesaikan oleh TTPR adalah dalam bentuk arahan kepada pihak pemaju untuk membaiki sesuatu kerosakan atau kecacatan dan tidak dapat dinilai jumlahnya.

Beliau berkata, TTPR menerusi Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan kementerian akan terus memantau dan membatalkan notis pendakwaan terhadap pemaju yang didapati sudah menjelaskan pembayaran ganti rugi kepada pembeli rumah.

“Mengikut statistik, sejak penubuhan TTPR 1 Disember 2002 hingga 31 Mei lalu, 12,390 kes difailkan pembeli rumah yang tidak berpuas hati dengan pemaju atas pelbagai sebab seperti berlaku kecacatan, keretakan dan kebocoran.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10,771 kes berjaya diselesaikan, dengan 9,742 daripadanya membabitkan di dalam mahkamah manakala 1,029 lagi berjaya diselesaikan di luar mahkamah,” katanya.

Kamardin berkata, TTPR boleh menjadi badan bebas yang mampu menjamin hak pengguna khususnya pembeli rumah daripada ditindas sewenang-wenangnya oleh pemaju yang tidak bertanggung jawab.

“Kita sedia mendengar apa juga bentuk tuntutan pembeli rumah dengan syarat ia difailkan tidak lewat daripada 12 bulan bermula tarikh pengeluaran Sijil Layak Menduduki (CF) atau tamat tempoh liabiliti kecacatan seperti yang dinyatakan dalam surat Perjanjian Jual Beli (S&P).

“Had maksimum tuntutan itu tidak melebihi RM25,000 bagi setiap kausa.

“Bagaimanapun, cadangan pindaan untuk menaikkan nilai tuntutan kepada RM50,000 sudah dikemukakan dan kini berada di peringkat perbincangan di kementerian sebelum diluluskan Kabinet,” katanya.

Kamardin berkata, pada dasarnya dua kategori kes didaftarkan di TTPR, iaitu yang membabitkan tuntutan teknikal dan bukan teknikal.

Tuntutan teknikal meliputi ganti rugi kepada premis seperti kecacatan mutu kerja, kebocoran dan tidak mengikuti spesifikasi manakala tuntutan bukan teknikal membabitkan ganti rugi jumlah tertentu (LAD) bagi kelewatan penyerahan milikan kosong premis,” katanya.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.