This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penghuni bimbang pangsapuri retak, senget
Berita Harian 2/5/2005

SHAH ALAM: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib kira-kira 80 keluarga yang mendiami pangsapuri di Blok 9, Seksyen 7, di sini.

Apa tidaknya, sudahlah rumah yang diidamkan untuk membesarkan anak, rosak tidak sampai tiga tahun diduduki, kerja pembaikan yang dilakukan pemaju juga seolah-olah mendedahkan penghuni kepada masalah yang lebih besar.

Semua 80 unit pangsapuri di situ mengalami keretakan yang serius sehingga melarat ke luar rumah; bocor malah blok bangunan dua unit itu kelihatan senget.

Penduduk mendakwa keretakan dan kesan tampalan simen di bangunan itu wujud sejak hari pertama mereka mendiami rumah berkenaan pada Januari 2003. Malah, keretakan terus berlaku walaupun ia ditampal beberapa kali.

Keadaan itu menyebabkan ada segelintir penghuni blok berkenaan mengambil keputusan berpindah kerana demi keselesaan dan bimbangkan keselamatan keluarga.

Penduduk semakin bimbang sebaik saja kerja pembaikan dimulakan pemaju, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berikutan terdapat beberapa kesan menunjukkan masalah bertambah serius.

Suri rumah, Mariam Sahul Hamid berkata, rumahnya retak di bahagian siling dan kerja menanam cerucuk yang sedang dilakukan mengeluarkan bunyi amat bising sehingga mengganggu ketenteraman penghuni.

Beliau juga membuat laporan polis kerana bunyi yang terlalu bising serta takut bangunan itu akan roboh akibat gegaran yang berlaku sepanjang kerja pembaikan itu dilakukan.

Tinjauan Sentral mendapati kesan daripada keretakan itu, menyebabkan air mengalir masuk ke dalam rumah melalui rekahan dan pintu tidak boleh ditutup serta lantai menjadi tidak rata.

Pangsapuri kos sederhana rendah itu adalah sebahagian daripada 1,260 unit rumah kos sederhana rendah dan kos rendah yang dibina PKNS di Seksyen 7. Setiap blok kediaman itu daripada bangunan lima tingkat yang didiami kira-kira 1,500 penduduk.

Wakil penduduk, Mohd Rafi Md Zain berkata, perkara itu sudah beberapa kali diajukan kepada PKNS tetapi sehingga kini tiada jawapan diterima, terutama berhubung keselamatan bangunan berkenaan.

Mohd Rafi berkata, pada pertemuan pertama yang dipengerusikan Timbalan Datuk Bandar, Za'aba Che Rus, PKNS memaklumkan kepada penduduk  masalah keretakan mula disedari sejak 2002 iaitu sebelum kunci diserahkan kepada pemilik terbabit.

"PKNS memberitahu bangunan ini selamat didiami. Tetapi, keretakan yang berlaku semakin serius. Adakah bangunan ini masih selamat?," katanya.

Namun, Mohd Rafi berkata, apa yang lebih dikesalkan ialah PKNS hanya bertindak apabila masalah itu disiarkan TV3 sedangkan penduduk membuat aduan sejak dua tahun lalu.

Selain itu, katanya, PKNS juga tidak meminta pendapat penduduk apabila memutuskan untuk melakukan kerja pembaikan seolah-olah mereka tidak mementingkan keselamatan penduduk.

Pada mesyuarat itu, katanya, penduduk meminta untuk dipindahkan ke perumahan sementara sepanjang kerja pembaikan dijalankan, menggantikan unit rosak dengan rumah baru atau PKNS membeli balik unit yang dijual.

Bagaimanapun, beliau berkata, PKNS menolak ketiga-tiga usul itu dan bercadang memberi elaun kesusahan sebanyak RM300 sebulan kepada penduduk terbabit sepanjang tempoh pembaikan.

"Keputusan PKNS itu seolah-olah tidak menjaga kebajikan kami yang membeli rumah mereka.

"Bagaimana kami hendak mencari rumah sewa dengan harga RM300 sebulan. Paling murah pun, RM450 dan itu pun rumahnya tidak selesa," katanya.

Mohd Rafi berkata, berikutan masalah pampasan dan tuntutan penduduk kepada PKNS masih tidak selesai dalam mesyuarat ketiga, 19 April lalu, beliau menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bagi meminta bantuan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.