This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

70% Gurkha jadi pengawal keselamatan tiada asas tentera
utusan.com.my 11/05/2005 Oleh: Zabry Mohamad

KUALA LUMPUR 10 Mei - Percaya atau tidak 70 peratus `bekas askar Gurkha' dari Nepal yang menjadi pengawal keselamatan di negara ini dengan gaji tinggi - tidak pernah pun berkhidmat dalam tentera.

Golongan itu, yang mendapat permintaan tinggi rakyat Malaysia, dibayar gaji minimum RM1,200 sebulan, berbanding pengawal tempatan RM700 hingga RM800.

Kebanyakan 2,000 `Gurkha' itu hanya datang dari kawasan terceruk di negara mereka.

``Berdasarkan siasatan, mereka rakyat biasa Nepal. Status Gurkha dikenali jika pernah berkhidmat dengan Tentera British,'' dedah Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Rahmat Ismail kepada Utusan Malaysia.

Katanya, dokumen yang mengesahkan mereka Gurkha, setelah disiasat didapati palsu.

Sehubungan itu, beliau meminta kemasukan pekerja Nepal ini bagi bekerja sebagai pengawal keselamatan perlu dipantau kerajaan kerana kemungkinan terdapat unsur-unsur penipuan dan penyelewengan.

Menurut Rahmat, kebanyakan mereka yang dibawa masuk berumur dalam lingkungan 20-an.

``Tujuh puluh peratus daripada mereka berusia begitu muda sedangkan sebagai bekas tentera Gurkha seperti yang disyaratkan, mereka sepatutnya jauh lebih berumur,'' katanya.

Golongan muda tempatan tidak berminat memohon sebagai pengawal keselamatan disebabkan gaji yang rendah.

Justeru, Rahmat mencadangkan supaya kerajaan menetapkan gaji minimum yang setimpal untuk pengawal keselamatan bagi menarik minat rakyat tempatan menceburi sektor itu sekali gus menaikkan imej kerjaya tersebut.

Katanya, penyertaan lebih ramai rakyat tempatan dilihat mampu menangani masalah kekurangan pengawal keselamatan dan kebergantungan kepada pekerja asing.

``Buat masa ini tidak ada peraturan yang menentukan berapa gaji pokok yang patut dibayar kepada pengawal keselamatan.

``Ia bergantung kepada syarikat-syarikat kawalan keselamatan dan biasanya dibayar mengikut kos sara hidup di sesuatu kawasan,'' kata Rahmat.

Pada masa ini Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) hanya membenarkan bekas askar Gurkha dari Nepal untuk diambil berkhidmat oleh syarikat kawalan keselamatan terutama bagi ditempatkan di bangunan-bangunan kedutaan asing.

Bekas askar Gurkha itu dibenarkan berkhidmat berikutan permintaan tinggi yang diterima daripada kedutaan asing dan golongan mewah tempatan untuk menjaga keselamatan kediaman dan harta benda mereka.

Terdapat kira-kira 30,000 kekosongan sebagai pengawal keselamatan di negara ini. Buat masa ini pengawal keselamatan di seluruh negara berjumlah 170,000 orang.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.