Selangor 
      negeri pertama sedia skim deposit RM1 beli rumah 
      Utusan Malaysia 20/4/2005 
       
      KUALA LUMPUR 19 April - Kerajaan Negeri Selangor merupakan negeri pertama 
      menyediakan skim bayaran deposit termurah di dunia sebanyak RM1 bagi 
      membantu golongan miskin membeli rumah. 
       
      Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, dengan bayaran 
      deposit sebanyak RM1, golongan miskin di negeri itu boleh memiliki rumah 
      kos murah berharga RM35,000, yang mempunyai tiga bilik. 
       
      ``Mereka juga boleh menduduki rumah itu dua bulan selepas membuat bayaran 
      deposit dan mula membuat pembayaran ansuran,'' katanya ketika berucap pada 
      Seminar Kebangsaan mengenai Kemiskinan Di Bandar dan Keluarga 
      Berpendapatan Rendah: Ke Arah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), di 
      sini hari ini. 
       
      Beliau berkata, setiap pemilik rumah kos murah di negeri itu juga diberi 
      dua unit tempat letak kereta. 
       
      Beliau menyampaikan kertas kerja bertajuk Strategi-strategi Mengatasi 
      Masalah Kemiskinan Di Bandar dan Keluarga Berpendapatan Rendah dengan 
      fokus di Selangor. 
       
      Khir juga berkata, di bawah skim bantuan untuk golongan miskin tegar, 
      kerajaan negeri telah membina sebanyak 1,061 unit rumah sehingga September 
      2004 dan 850 unit rumah lagi telah dibaiki. 
       
      ``Bantuan di bawah skim ini ialah untuk membantu ibu tunggal, pesara dan 
      warga emas,'' katanya. 
       
      Katanya, kerajaan Selangor juga menyediakan subsidi sebanyak RM7,000 bagi 
      membantu golongan setinggan di negeri itu membeli rumah kos murah. 
       
      ``Setinggan yang tidak mampu atau layak memohon pinjaman pula disediakan 
      rumah transit dengan kadar sewa sebanyak RM124 sebulan atau rumah yang 
      dibina oleh majlis tempatan pada kadar sewa sebanyak RM250 sebulan.'' 
       
      ``Kita bukan sahaja mahu menghapuskan masalah setinggan tetapi juga 
      membantu mengurangkan kemiskinan di kawasan bandar di Selangor,'' katanya. 
       
      Ketika bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau menggesa Kerajaan 
      Pusat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap di negeri 
      Selangor. 
       
      Khir berkata, Selangor merupakan negeri yang pesat membangun dan langkah 
      itu akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. 
       
      Pada masa ini, bukan sahaja golongan kaya malahan rakyat golongan miskin 
      yang tinggal di bandar-bandar di negeri itu, terpaksa memiliki dua buah 
      kereta semata-mata bagi tujuan untuk pergi bekerja, katanya. 
       
      ``Jika kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang 
      cekap, ia juga akan meningkatkan pendapatan benar rakyat terutama golongan 
      miskin yang tinggal di bandar,'' katanya. 
       
      Beliau juga berkata, Kerajaan Selangor sedang memperhebatkan pelaksanaan 
      fasa kedua projek Lembah Kelang bagi menampung kepesatan pembangunan di 
      negeri itu. 
       
      Khir berkata, projek itu telah bermula pada tahun 2002 dan kini memasuki 
      fasa kedua. 
  | 
     
    
      |   | 
     
   
 
 |