This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penghuni flet bimbang keselamatan
Harian Metro 5/4/2005

BUTTERWORTH: Beratus-ratus penghuni Blok A Taman Sri Pinang, di sini, ketakutan selepas bumbung blok berkenaan diterbangkan ribut kelmarin, selain bimbang mengenai tahap keselamatan di blok berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Blok A, Azmi Jaafar, berkata kebimbangan penduduk berasas kerana bumbung dan bahan binaan yang digunakan mudah diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira 4.30 petang kelmarin.

Menurutnya, bumbung jenis zink dan kayu yang digunakan tidak begitu sesuai untuk rumah pangsa kerana kualitinya begitu rendah.

“Dalam kejadian kira-kira setahun lalu, zink penakung air pernah jatuh tetapi tidak menimpa penduduk dan (semalam) kelmarin bumbung zink pula diterbangkan ribut.

“Memang kita tidak boleh salahkan ribut tetapi seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan bahan yang digunakan untuk pembinaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, bumbung empat rumah di blok berkenaan diterbangkan ribut hanya dalam masa antara satu hingga dua minit saja.

Penduduk mendakwa kejadian ribut kelmarin begitu pantas kerana hanya mengambil masa beberapa minit sebelum berhenti serta-merta sebaik azan solat Asar kedengaran.

Ariffin Abdullah, 54, berkata sebelum kejadian dia berehat di ruang tamu selepas pulang dari kerja di Seberang Jaya.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar bunyi kuat di bahagian atas rumah lalu bergegas keluar dan mendapati sebahagian bumbung zink tergantung manakala sebahagian lagi sudah jatuh.

“Nasib baik tiada sesiapa di bawah ketika kejadian. Jika tidak mungkin ada yang menjadi mangsa,” katanya.

Pelbagai pihak melawat rumah mangsa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Biro Pengaduan Umno Pulau Pinang.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.