Penduduk bantah projek 
      Harian Metro 6/4/2005 Oleh Shakilawati Abd Rahman 
       
      KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan 
      projek pembinaan 48 unit banglo di Taman Metropolitan Batu, Jalan Ipoh, di 
      sini, menimbulkan kemarahan penduduk sekitarnya.  
       
      Sikap pemaju, Kristal Hill Properties Sdn Bhd dan Khazanah Nasional 
      ‘mencabul’ taman yang menjadi tempat penduduk Taman Mastiara, Taman Batu 
      Permai, Tiara Court dan Mas Court, beriadah dan bersukan turut mendapat 
      perhatian serius Ahli Parlimen Batu, Ng Lip Yong.  
       
      Ng melahirkan rasa kesal tindakan DBKL meluluskan projek yang mula 
      beroperasi Februari lalu kerana membabitkan kawasan yang diwartakan 
      sebagai taman kegunaan orang ramai. 
       
      “Saya tidak dimaklumkan mengenai projek ini dan terkejut besar apabila 
      menerima aduan daripada penduduk yang mengatakan pemaju melakukan kerja 
      pembinaan dalam kawasan taman.  
       
      “Lebih mengecewakan apabila Khazanah Nasional yang sepatutnya menjaga 
      kepentingan orang ramai turut terbabit sebagai rakan kongsi projek ini,” 
      katanya ketika melawat Taman Metropolitan Batu, semalam. 
       
      Beliau yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Perladangan 
      dan Komoditi berkata, pihak pemaju memaklumkan DBKL membenarkan mereka 
      melaksanakan projek itu dengan syarat membina jalan baru bagi menggantikan 
      jalan lama yang menjadi sebahagian tapak projek.  
       
      “Saya hairan bagaimana DBKL boleh meluluskan projek ini sedangkan sebelum 
      ini Perdana Menteri pernah menegaskan kawasan taman dan padang permainan 
      tidak boleh diganggu. 
       
      “Saya difahamkan DBKL membelanjakan sekitar RM20 juta bagi membangunkan 
      taman ini dan sekarang mereka mensia-siakan pelaburan itu sekali gus 
      mengundang rasa tidak puas hati penduduk,” katanya.  
       
      Ng berkata, beliau akan menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd 
      Isa Abdul Samad bagi membincangkan perkara berkenaan dengan lebih serius.
       
       
      Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, pihak pemaju cuba 
      mengaburi mata mereka dengan meletakkan papan tanda sedang membina jalan 
      dan tempat meletak kenderaan walhal mereka menyedari matlamat sebenar 
      pemaju adalah mendirikan banglo di situ. 
       
      “Kami tidak menentang pembangunan tetapi janganlah sampai mengganggu taman 
      ini. Sudahlah pihak DBKL tidak menjaga kawasan ini sehingga menyebabkan 
      vandalisme berleluasa, kini ada orang luar pula ‘mencabul’ taman ini,” 
      katanya.  
       
      Sementara itu, Ng turut meluangkan masa meninjau projek Sekolah Menengah 
      Bestari Batu Permai yang terbengkalai sejak lebih lima tahun lalu tidak 
      jauh dari taman berkenaanu. 
       
      Menurut Ng, tapak sekolah ini bukan sahaja menjadi tempat longgokan sampah 
      malah cukup terkenal sebagai sarang penagih.  
       
      “Sebelum ini saya tidak campur tangan kerana projek ini di bawah 
      Kementerian Pelajaran tetapi apabila ia mengundang bahaya kepada penduduk 
      di sini, terpaksalah saya campur tangan. 
       
      “Kawasan ini tidak selamat dan mengundang bahaya kepada penduduk. 
      Macam-macam perkara boleh berlaku apabila ia menjadi sarang penagih dan 
      tempat longgokan sampah,” katanya. 
       
      Ng berharap pihak bertanggungjawab menyelesaikan perkara ini secepat 
      mungkin demi keselamatan penduduk. 
       
      Beliau juga mencadangkan tanah seluas lebih kurang empat hektar itu 
      dipagar sehingga projek siap sepenuhnya bagi mengelakkan penagih atau 
      orang ramai mendekati kawasan itu.  | 
     
    
      |   | 
     
   
 
 |