| 
     Lupus faedah pinjaman - ADUN
     
    04/04/2005 Kosmo  
     
    SUBANG JAYA - Laporan lengkap masalah projek pangsapuri Newgate Avenue yang 
    terbengkalai di USJ 21, di sini lebih tiga tahun lalu akan dibentangkan 
    kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Ng Yen Yen dan Bank Negara dalam 
    masa terdekat ini. 
     
    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Datuk Lee Hwa Beng berkata, 
    laporan itu bertujuan mendapatkan bantuan bagi kedua-dua pihak berkenaan 
    melupuskan faedah pinjaman oleh pembeli unit pangsapuri. 
     
    "Walaupun projek itu terbengkalai sejak tiga tahun lalu, para pembeli 
    terpaksa melangsaikan wang pinjaman membeli rumah termasuk faedahnya setiap 
    bulan secara ansuran," katanya. 
     
    Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan 
    dengan penduduk terbabit di sini semalam. 
     
    Katanya, penduduk juga bercadang mengambil tindakan mahkamah selain 
    mendapatkan pemaju baru. 
     
    Menurut Hwa Beng, projek yang merangkumi 1,072 unit pangsapuri itu telah 
    dimulakan pada 2001 dan sepatutnya siap April 2003. 
     
    Bagaimanapun, katanya, pada November 2002, pemaju, YCS Bhd. telah 
    menghentikan kerja tanpa sebab dan ia terbengkalai pada tahap 60 peratus 
    pembinaan hingga sekarang. 
     
    Seorang pembeli, Abdul Aziz Othman, 44, memberitahu, dia terpaksa membayar 
    sehingga RM800 sebulan untuk pinjaman pembelian unit pangsapuri berharga 
    RM90,000 itu. 
     
    Katanya, separuh daripada bayaran tersebut adalah faedah di mana menyebabkan 
    beliau terpaksa  
    membayar dua kali ganda untuk rumah yang terbengkalai itu. 
      
    "Saya terpaksa membayar kepada 
    bank setiap bulan walaupun rumah yang dibeli masih belum  
    menjadi milik saya," katanya.   |