Flet Pekeliling 
      
       
      Berita Harian 15/4/2005  
       
      KUALA LUMPUR: Mungkin tiada perkataan yang dapat digambarkan apabila 
      mendengar kediaman yang mereka diami sejak berpuluh-puluh tahun akan 
      dirobohkan oleh pemiliknya.Itulah yang dirasai 
      sebahagian penghuni Flet Pekeliling, di Jalan Tun Razak apabila mendengar 
      kediaman mereka akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek 
      perumahan dan komersial terancang serta sistematik. 
      Walaupun kebanyakan mereka gembira akan mendapat rumah 
      baru yang lebih selesa, sedih dan sayu menyelubungi jiwa kerana selepas 
      sekian lama tinggal di situ pasti ada nostalgia masing-masing. 
      Namun, perasaan sedih itu sedikit sebanyak terubat 
      memikirkan keselesaan yang bakal dinikmati apabila Dewan Bandaraya Kuala 
      Lumpur (DBKL) menyediakan rumah yang lebih selesa. 
      Peniaga, Jamilah Mohamad, 44, berkata jika diberi 
      pilihan, beliau lebih gemar menetap di Flet Pekeliling kerana kedudukannya 
      yang strategik di tengah ibu kota. 
      "Di sini semua kemudahan ada seperti hospital, pasar raya dan pengangkutan 
      awam pun banyak. Kami sayang nak tinggalkan tempat ini, tetapi kalau sudah 
      diarahkan, apa boleh buat. Kenalah ikut kerana kami pun tidak mempunyai 
      banyak pilihan," katanya. 
      Bagaimanapun, beliau meminta penghuni dipindah pada 
      akhir tahun ini memandangkan waktu itu musim cuti persekolahan bermula.  
      Bagi suri rumah, Hamidah Osman, 36, walaupun sedih 
      terpaksa meninggalkan rumah yang didiami sejak 13 tahun lalu, beliau 
      menganggap ia sebagai permulaan untuk kehidupan yang lebih selesa pada 
      masa depan. 
      "Di sini memang cukup segalagalanya, kalau tidak saya 
      tidak akan bertahan dan tinggal di sini hingga 13 tahun. Tetapi ia tidak 
      sesuai lagi kerana rumah ini hanya mempunyai satu bilik. Bagi yang tidak 
      mempunyai anak ramai tidak kisah sangat tetapi jika anak lima atau enam 
      anak sudah tentu menyukarkan," katanya. 
      Pesara DBKL, M Suppaya, 68 yang tinggal di perumahan itu 
      sejak 24 tahun lalu meminta DBKL mempertimbangkan hasratnya untuk tinggal 
      di kawasan yang lebih dekat dengan ibu kota memandangkan dia tidak begitu 
      sihat. 
      "Saya menghidap lelah dan kerap bergantung dengan 
      ubat-ubatan. Jika berpindah ke perumahan baru yang jauh sudah tentu timbul 
      masalah untuk berulang alik ke hospital," katanya. 
      Bagi ibu tunggal beranak tiga, M Devi, rumah di Taman 
      Seri Rampai tidak mempunyai tempat menyidai kain dan akan menyulitkan 
      penghuni yang mempunyai keluarga besar. 
      Bagaimanapun katanya, penghuni akan membangkitkan 
      masalah berkenaan kepada DBKL pada majlis dialog yang akan diadakan malam 
      ini. Devi yang menyewa di Blok A dengan kadar RM94 sebulan mengakui rumah 
      di penempatan baru itu lebih selesa. 
      Bagi Ong Ken Lim, 33, yang menetap di Blok K dan menyewa 
      sebuah lot kedai blok yang sama dengan kadar sewa RM210 sebulan sedang 
      menunggu pengesahan DBKL untuk notis perpindahan. 
      Fakta Flet Pekeliling 
      * Nama sebenar adalah Perumahan Awam Tuanku Abdul Rahman tetapi lebih 
      dikenali sebagai Flet Pekeliling. 
      * Mempunyai tujuh blok 17 tingkat dan empat blok rumah kedai empat tingkat. 
      * Dilancarkan pada 1967 oleh Suruhanjaya Ibu Kota dengan peruntukan RM20.5 
      juta dan dibina dalam Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) pada 1969. 
      * Rumah pangsa kedua di ibu negara selepas Perumahan Awam Razak Mansion di 
      Sungai Besi bagi menempatkan golongan berpendapatan rendah dan penduduk 
      setinggan. 
      * Keseluruhan kawasan 14.96 hektar n Sebanyak 2,564 penyewa akan 
      dipindahkan ke Perumahan Awam Taman Seri Rampai Satu dan Dua, Setapak. 
      * Sebanyak 404 pemilik dipindahkan ke Bandar Baru Sentul.  
       |