This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Takut bumbung kondo jatuh lagi
Harian Metro 19/3/2005 Oleh Halimah Nurzainah Rusmani

SELAYANG: Penghuni Kondominium Villa Lagenda, di sini bimbang keselamatan mereka terancam berikutan insiden bumbung kondominium berkenaan jatuh, Isnin lalu.

Harian Metro difahamkan, dalam kejadian itu, bumbung Blok A kondominium itu terjatuh dan menghempap sebuah kereta milik penghuni kondominium sehingga rosak teruk.

Penghuni itu, Nyew Lee Huang, 40, berkata kejadian berlaku ketika hujan dan dia tidak menyedari kerosakan keretanya sehingga diberitahu pengawal keselamatan kondominium yang menelefon pada jam 2.40 petang.

“Saya tidak bekerja pada hari kejadian kerana sakit kaki dan saya terkejut apabila diberitahu pengawal kereta saya dihempap bumbung yang terjatuh.

“Kini saya terpaksa memikirkan bagaimana untuk membaiki kereta saya yang rosak itu memandangkan pihak pengurusan kondominium tidak mahu menampung kos membaik pulihnya,” katanya yang sudah lima hari tidak bekerja kerana menghadapi masalah pengangkutan untuk ke tempat kerja.

Nyew berkata, beliau sekeluarga baru enam bulan menetap di kondominium itu. Bagi penghuni tingkat 20 Blok A kondominium itu, Choy Chong, 50, sejak insiden bumbung terjatuh itu berlaku, kemudahan lif bagi blok berkenaan turut tidak berfungsi dan sekali gus menambahkan bebanan penduduk kondominium itu.

“Saya tinggal di tingkat tertinggi kondo ini dan sejak Isnin lalu kami sekeluarga terpaksa menggunakan tangga kerana kedua-dua lif Blok A rosak.

“Seolah-olah bayaran penyelenggaraan berjumlah lebih RM500 sebulan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kami kerana kemudahan lif tidak dibaiki dengan segera selepas insiden bumbung runtuh Isnin lalu,” katanya yang kesal dengan cara pihak pengurusan kondominium itu menjalankan tugas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab menyerahkan sijil layak menduduki (CF) kepada pihak pemaju segera mengkaji punca insiden bumbung yang terjatuh itu dan dapat menyelesaikan segala kesulitan dengan segera.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.