This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Ceroboh hutan: Penguat kuasa cuai juga patut dihukum
02/03/2005  Berita Harian Sang Lamri

ISU pembangunan berhampiran Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam yang mencetuskan kontroversi kerana menjejaskan sistem ekologi dan alam sekitar di kawasan berkenaan, nampaknya sudah mula reda. Barangkali juga isu itu sudah dianggap selesai, terutama selepas empat pemaju didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam lebih seminggu lalu.

Pemaju terbabit termasuk anak syarikat kerajaan negeri sendiri - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta dua syarikat lain, Restu Mantap Sdn Bhd dan Dacing Kota Sdn Bhd, didenda berjumlah lebih RM800,000 selepas mengaku salah menjalankan kerja tanpa kelulusan di Seksyen U10, berhampiran taman pertanian berkenaan.

Satu lagi syarikat, Green Hill View Sdn Bhd, bagaimanapun tidak mengaku salah dan minta dibicarakan manakala dua pemaju lain, Lunas Hati Sdn Bhd dan Indi Makmur Sdn Bhd yang sepatutnya turut didakwa pada 11 Mac lalu, tidak hadir berikutan pendakwa gagal menyerahkan saman. Enam syarikat terbabit adalah antara sembilan pemaju yang sebelum ini dilaporkan akan didakwa di mahkamah kerana menjalankan pembangunan tanpa kebenaran di kawasan itu.

Sang Lamri memuji tindakan tegas kerajaan Selangor mengheret pemaju terbabit ke mahkamah, tanpa mengamalkan sikap pilih kasih termasuk yang membabitkan anak syarikatnya, PKNS. Hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran agar pemaju terbabit serta syarikat lain tidak mengulangi kesalahan itu.

Persoalannya, bagaimana pula dengan kakitangan atau pegawai pihak berkuasa tempatan atau agensi berkaitan yang sepatutnya bertanggungjawab memantau dan menguatkuasakan undang-undang selepas meluluskan projek berkenaan?

Sang Lamri tidaklah berniat untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, tetapi agak mustahil kerakusan pemaju terbabit menebang pokok berhampiran taman pertanian berkenaan tidak disedari kerana perbuatan itu bukan baru berlaku sehari dua, malah kawasan itu juga terletak tidak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sendiri sebelum ini mengakui beliau tidak berpuas hati dengan ketua jabatan berkaitan kerana pembangunan diluluskan, tetapi penguatkuasaan dan pemantauan tidak dilakukan.

Kita akui kerajaan negeri sudah pun memperkenalkan berapa pendekatan dan peraturan baru, termasuk menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Ramlan Othman, untuk memastikan semua projek yang telah diluluskan atau akan diluluskan pada masa depan, mesti mengikut peraturan. Dr Mohamad Khir juga memberi jaminan beliau sendiri akan turun padang setiap dua hari sekali bagi meninjau dan memantau kerja pemulihan di Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam.

Namun, kita percaya apa pun tindakan, termasuk mengheret pemaju terbabit ke mahkamah atau memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru, tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah berkenaan selagi masih ada kakitangan dan pegawai yang tidak amanah, cuai atau memandang mudah soal pemuliharaan alam sekitar.

Justeru, Sang Lamri berpendapat kakitangan dan pegawai yang cuai atau gagal melaksanakan amanah rakyat, seharusnya turut dihukum bagi menggambarkan ketelusan kerajaan negeri dalam menangani isu itu serta memastikan pihak berkaitan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab sebelum meluluskan sebarang projek pada masa akan datang.
 
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.