This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek Plaza Rakyat terus dilanda krisis
22/03/2005 Utusan

KUALA LUMPUR 21 Mac - Projek pembinaan Plaza Rakyat, bersebelahan Hentian Puduraya, yang terbengkalai akibat krisis kewangan serantau 1999, kini sekali lagi berada dalam krisis ekoran konflik antara pemaju dengan kontraktornya.

Projek yang dianggarkan bernilai RM419.999 juta itu, merangkumi bangunan utama pusat membeli-belah tujuh tingkat, enam tingkat bawah tanah dan hotel bajet mengandungi 157 bilik dengan 1,600 ruang letak kereta.

Krisis terbaru membabitkan PJ Indah Sdn. Bhd. (PJI), anak syarikat milik penuh PJ Indah Holdings Bhd. yang telah ditamatkan kontrak membina kompleks tersebut oleh Plaza Rakyat Sdn. Bhd., selaku pemaju projek pada 16 Februari lalu.

Plaza Rakyat, adalah anak syarikat Wembley Industries Holdings Bhd., yang dimiliki ahli perniagaan, Tan Sri Ting Pek Khiing.

PJI dilantik sebagai kontraktor siap guna projek itu pada 22 Disember 2003 bagi menggantikan Global Upline Sdn. Bhd.

Daripada tarikh itu, projek pembinaan Plaza Rakyat sepatutnya disiapkan dalam tempoh 27 bulan iaitu menjelang 30 Mac 2006.

Alasan penamatan kontrak yang diberikan oleh Plaza Rakyat ialah PJI gagal mendapatkan pembiayaan bagi mengendalikan pembinaan projek itu.

Dalam konteks ini, PJI Holdings dalam laporannya kepada Bursa Malaysia di sini hari ini memberitahu, bahawa syarikat itu telah mendapat beberapa bakal pembiaya tetapi syarat-syaratnya perlu dirunding dan dipersetujui oleh Plaza Rakyat.

``Sebaliknya, Plaza Rakyat telah memberi notis bertarikh 16 Februari lalu, menamatkan Surat Anugerah projek dengan alasan PJI gagal mendapatkan pembiayaan,'' kata PJI Holdings.

PJI Holdings telah mencabar keputusan penamatan Plaza Rakyat sebagai tidak sah dan meminta mereka menarik balik notis penamatan itu.

Permintaan itu, bagaimanapun tidak diendahkan oleh Plaza Rakyat yang menuntut PJI supaya meninggalkan tapak projek.

Keengganan PJI itu telah menyebabkan Plaza Rakyat menuntut perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu, untuk menghalang PJI memasuki kawasan projek.

Plaza Rakyat seterusnya mengemukakan permohonan injuksi terhadap PJI dan kesnya bakal didengar atau diputuskan pada 30 Mac ini.

Pada 11 Mac lalu juga, Plaza Rakyat telah memasuki tapak projek dan mengarahkan pekerja PJI keluar dari kawasan tersebut.

Dengan tindakan itu, menurut PJI, Plaza Rakyat telah mendahului mahkamah dalam membuat keputusan.

Menurut PJI, syarikat itu sentiasa mempertahankan bahawa ia tidak melanggar apa-apa syarat Surat Anugerah.

``Kami hanya menggunakan hak mengikut kontrak untuk bertemu dengan Plaza Rakyat bagi merundingkan keperluan pembiayaan projek.

``Bagaimanapun, Plaza Rakyat memilih untuk mengisytiharkan kontrak itu telah sama-sama dipersetujui untuk ditamatkan. Persetujuan itu tidak benar,'' kata PJI lagi.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.