This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penghuni dakwa kena main
Harian Metro 7/3/2005

PETALING JAYA: Penduduk flet Taman Medan Cahaya Fasa 1, di sini, kecewa dengan sikap pemaju dan kontraktor penyelenggaraan kerana gagal menyelesaikan pelbagai masalah di kawasan itu.


Mereka mendakwa sering dipermainkan dengan janji kosong, malah apabila setiap masalah dikemukakan pelbagai alasan diberi, termasuk kekurangan kakitangan.


Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk, Asmah Ibrahim, berkata sejak berpindah ke situ 10 bulan lalu, pelbagai masalah dihadapi dan aduan sudah dibuat kepada Syarikat Perumahan Negara (SPN), namun tiada penyelesaian.


"Kemudahan surau dan dewan tidak disediakan dalam kawasan ini. Bila ada masalah seperti berlaku kematian kami terpaksa pergi ke masjid atau surau berhampiran. Malah jika kami hendak buat majlis tahlil kami terpaksa guna kawasan letak motosikal.


"Masalah tiada surau, adalah tanggungjawab sosial pemaju yang perlu diadakan supaya hubungan antara pemaju, mahupun pengurusan dan penduduk bertambah erat pada masa depan.


"Kami mahu pemaju menyedia atau menggunakan kawasan lapang yang ada di kawasan flet ini untuk membina surau," katanya yang meminta Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan wakil rakyat campur tangan dalam perkara itu.


Dia mahu pihak yang menjadi penyelenggara diganti supaya penghuni tidak terus menjadi mangsa.


"Alasan seperti kurang pekerja dan tiada orang hendak membuat kerja bagi mengatasi masalah tidak boleh diterima," katanya, di sini, semalam.


Flet kos rendah yang berharga kira-kira RM35,000 itu merangkumi 192 unit rumah dengan ketinggian 16 tingkat dan mula diduduki pertengahan tahun lalu.


Sebilangan besar penghuni bekas penduduk setinggan Medan Haron Indah, rata-rata berpendapatan rendah dan tidak tetap dengan anggaran bawah RM1,000 sebulan.


Sementara itu, pesara, Abdul Ghani Abdul Jalil, 61, berkata masalah yang dihadapi penghuni makin bertambah serius berikutan pemaju dan kontraktor penyelenggaraan tidak menyelesaikannya.


"Saya cukup kesal dengan sikap pihak terbabit. Contohnya masalah lif rosak tapi tiada tindakan sehingga menyusahkan penduduk terutama yang tinggal di tingkat 16.


"Selain itu, aspek keselamatan kebakaran yang tidak disediakan dengan sempurna. Pili bomba dan pemadam api tidak disediakan.


Suri rumah, Ida Mat Saad, 37, berkata dia memang kesal dengan sikap pihak terbabit yang gagal mengatasi masalah itu.


"Kami bimbang keselamatan kanak-kanak kerana longkang di sini tidak ada penutup. Longkang di sini dalam dan bahaya kepada kanak-kanak. Pernah berlaku kanak-kanak patah tangan dan tulang retak sebab jatuh dalam longkang ketika bermain" katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.