This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemilik rumah pangsa boleh lapor kerosakan
31/03/2005 Berita Harian

KUALA LUMPUR: Pemilik rumah pangsa yang mengalami kerosakan akibat kejadian gempa yang menggegarkan beberapa kawasan sekitar ibu negara kelmarin boleh membuat aduan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhampiran bagi memastikan status keselamatan bangunan berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Azmi Mohamad Nor, berkata sehingga petang semalam, tiada aduan diterima berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersedia memantau mana-mana bangunan jika ada sebarang aduan kerosakan.

“Setakat ini tiada aduan diterima daripada penduduk berhubung kerosakan bangunan atau mereka yang meragui tahap keselamatan kediaman mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada bomba menerima banyak panggilan daripada orang ramai, khususnya penghuni bangunan tinggi yang bimbang keselamatan kediaman mereka.

Azmi berkata, jika menerima laporan, bomba akan menghantar anggota ke lokasi dan siasatan dilakukan dengan bantuan polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memeriksa keadaan fizikal bangunan sama ada selamat untuk diduduki.

Katanya, selepas pemeriksaan, penduduk akan diberitahu mengenai status bangunan dan hanya menasihatkan mereka kembali ke rumah masing-masing jika benar-benar selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam kejadian gempa bermula jam 12.09 pagi kelmarin, beberapa bangunan tinggi di seluruh negara, khususnya di ibu negara dilaporkan mengalami gegaran.

Kebanyakan penghuni yang bimbang dengan tahap keselamatan bangunan enggan memasuki kediaman masing-masing sehingga pihak berkuasa memastikannya selamat.

Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya akan mengeluarkan laporan aduan kerosakan sebagai bukti kepada pemilik rumah membuat tuntutan insurans, selain merujuk kepada pemaju untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, laporan berkenaan hanya akan dikeluarkan selepas kerosakan diperiksa dan sahkan,” katanya.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menjelaskan, orang ramai boleh membuat aduan kepada pegawai yang bertanggungjawab menjaga bangunan terbabit.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.