This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Misteri  gegaran setiap malam


ABDUL AZIZ menunjukkan kesan retak pada dinding di
bahagian belakang rumahnya.


 

GOMBAK: Kehidupan hampir 800 penduduk Kampung Sungai Pusu, di sini diselubungi misteri serta bimbangkan keselamatan diri dan keluarga kerana hampir setiap malam dikejutkan letupan dan  gegaran kuat sejak dua minggu lalu.

Mereka mendakwa 11 letupan berlaku pada hari pertama kejadian pada 22 Februari lalu dengan yang terakhir pada jam 7.20 pagi, menyebabkan kesan keretakan ketara hampir di semua bahagian rumah termasuk ruang tamu dan dapur.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Latif, 55, berkata letupan menyebabkan dinding pintu depan rumahnya retak, sekali gus menyebabkan pintu tidak boleh ditutup rapat.

“Kesan retak lebih ketara pada dinding belakang rumah selebar syiling 10 sen. Saya khuatir jika letupan misteri itu tidak dihentikan, ia mengancam nyawa kerana kemungkinan rumah akan runtuh,” katanya.


REKAHAN sebesar duit syiling 50 sen akibat letupan
dan gegaran

Tinjauan Sentral mendapati kesan retak boleh dilihat hampir di semua kediaman penduduk yang dikunjungi. Kesan paling ketara membabitkan retakan selebar syiling 50 sen di kediaman seorang penduduk.

Ahli Jawatankuasa Penduduk, Mizal Shah Mohammad, 48, berkata laporan polis sudah dibuat kira-kira jam 2 pagi pada hari kejadian.

Katanya, polis datang membuat penyiasatan Ahad lalu tetapi gagal mengesan punca letupan itu.

“Penduduk mengesyaki letupan itu dari kuari yang terletak hanya empat kilometer dari kampung,” katanya.

Suri rumah, Mariam Baharudin, 43, berkata dia bersama lapan anaknya sedang menonton televisyen ketika letupan pertama berlaku.

“Kami terkejut kerana gegarannya terlalu kuat sehingga perkakas rumah bergoyang. Saya ingatkan gempa bumi. Malam itu saya dan suami tidak tidur kerana khuatir keselamatan anak dan sentiasa bersedia untuk menyelamatkan diri.

“Sehingga kini kami tidak tahu punca sebenar letupan. Saya bimbang jika letupan berterusan pasti rumah ini akan roboh kerana sekarang pun sudah retak di sana-sini,” katanya.

Kebanyakan penduduk yang ditemui juga bimbang kemungkinan letupan dan gegaran kuat menyebabkan Empangan Klang Gates yang terletak dua kilometer dari Kampung Sungai Pusu pecah.

Khairi Adnan Nasarudin, 29, berkata tidak mustahil empangan itu pecah kerana letupan kuat hampir setiap hari.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Bakaruddin Othman, berkata MPS tidak menerima laporan dan aduan mengenai letupan atau kesan keretakan daripada penduduk berkenaan.

Bakaruddin berkata, pihaknya menghantar pegawai ke kawasan berkenaan untuk menyiasat punca letupan, selain meneliti kesan keretakan yang kemungkinan boleh mengancam nyawa dan keselamatan penduduk.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.