This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Alam sekitar: Wajarkah pemaju sahaja dihukum?
utusan.com.my 21/3/2005

Saudara Pengarang,

APAKAH semuanya telah beres apabila beberapa pemaju telah dijatuhkan hukuman denda beratus ribu ringgit dalam kes melibatkan pembangunan sehingga merosakkan alam sekitar begitu teruk di kawasan Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam, Selangor?

Diharapkan banyak lagi kes-kes sedemikian di tempat lain turut diambil tindakan serupa. Janganlah kerana kes kerakusan pemaju tidak mematuhi undang-undang tetapi tidak didedahkan pihak media maka pemaju tamak berkenaan boleh lepas bebas sambil mengaut keuntungan ratusan juta ringgit dalam sekelip mata.

Apakah pihak pemaju sahaja yang patut menerima hukuman sekiranya terdapat kes projek pembangunan dilaksanakan pihak pemaju yang tidak mematuhi undang-undang?

Bagaimana dengan pihak lain umpama pihak berkuasa sendiri. Tidakkah setiap pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab dalam memastikan setiap projek dijalankan mesti mematuhi peraturan, undang-undang dan syarat ditetapkan pihak berkuasa?

Bukankah telah menjadi amalan setiap projek pembangunan dijalankan adalah wajib diawasi sepanjang masa sehingga projek siap oleh pihak berkuasa dan jabatan berkaitan?

Adalah difahamkan setiap pihak berkuasa jabatan berkaitan wajib (menerusi jawatankuasa projek) menyediakan laporan kemajuan projek dan minit mesyuarat kemajuan projek. Laporan mesti dibentangkan dalam mesyuarat setiap minggu atau bulanan.

Dengan keadaan tersebut, jika pegawai dan kakitangan pihak berkuasa jabatan berkaitan benar-benar menjalankan tanggungjawab menerusi peraturan dan amalan seperti membincang, mengkaji secara bersungguh-sungguh dalam setiap mesyuarat mingguan atau bulanan, rasanya amat sukar untuk pemaju bertindak macam kes di Bukit Cahaya Seri Alam yang sewenang-wenangnya boleh menarah bukit, malah boleh menjalankan kerja tanah tanpa mendapat kelulusan.

Pihak berkuasa termasuk Ketua Setiausaha Negara diharap dapat mengambil tindakan dan mengenakan hukuman berat termasuk buang kerja kepada kalangan pegawai dan kakitangan pihak berkuasa, jabatan jika terbukti kes penyelewengan, cuai dan menjalankan tugas sambil lewa sehingga pemaju boleh sewenang-wenang melaksanakan projek secara haram seperti di Shah Alam.

Sungguh tidak munasabah apabila timbul sesuatu isu melanggar peraturan dan undang-undang hanya pihak pemaju atau kontraktor sahaja yang dikenakan hukuman sementara pegawai dan kakitangan pihak berkuasa boleh lepas tangan begitu sahaja.

Tidak lojik langsung apabila pihak berkuasa boleh menuding jari kononnya tidak sedar, tidak cukup kakitangan penguat kuasa dan sebagai apabila sesuatu projek yang terang-terang melanggar undang-undang didedahkan oleh pihak media.

Sehubungan itu rasanya banyak juga projek pembangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) diawasi oleh jururunding yang dilantik PBT. Jadi, bagaimana dan ke mana perginya jururunding termasuk kakitangan teknikal PBT sendiri dalam mengawasi setiap projek yang sedang dilaksanakan di kawasan mereka.

Suka ditegaskan di sini bahawa memang menjadi amalan wajib bahawa setiap PBT dan jabatan kerajaan berkaitan mesti mengadakan mesyuarat mingguan/bulanan dan dalam mesyuarat berkenaan tentunya laporan kemajuan/kemunduran/kegagalan, melanggar syarat kelulusan setiap projek mesti dibentang dan dibincangkan.

Jika tidak, bagaimana nanti projek yang dilaporkan oleh pihak pemaju/kontraktor itu siap sepenuh hendak dinilai oleh PBT bagi memberi kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF) - AZIZ MAJID, Gerik, Perak.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.