This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

40 rumah rosak teruk dipukul ribut
Berita Harian 4/3/2005 Oleh Mohd Azis Ngah


PENGHUNI Pangsapuri Bandar Pinggiran Subang U5, Shah Alam, memeriksa kenderaan mereka yang rosak ditimpa bumbung dan kayu yang tercabut ketika hujan lebat dan angin kencang, petang semalam.


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 40 rumah dan 10 unit pangsapuri di dua kawasan kediaman rosak teruk apabila dilanda angin kencang, manakala 39 kereta kemek ditimpa kayu ketika hujan lebat di Lembah Klang, petang semalam.


Dalam kejadian jam 4 petang di Kampung Pasir Baru, Jalan Klang Lama, bumbung 40 rumah kebanyakannya rumah panjang tercabut dipukul ribut.

Turut dilanda angin kencang ialah Pangsapuri Bandar Pinggiran Subang, Seksyen U5, Shah Alam, menyebabkan 10 unit rumah di tingkat 10 di tiga blok rosak apabila atap rumah diterbangkan angin.

Sebanyak 39 kereta rosak dihempap kayu dan bumbung yang jatuh ditiup angin.

Kejadian di Kampung Pasir Baru disifatkan sebagai paling teruk sejak 20 tahun lalu kerana tahun lalu, kawasan berkenaan pernah dilanda ribut tetapi tidak seteruk semalam.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan penduduk hanya mengalami kerugian akibat bumbung rumah tercabut serta banyak barangan rosak terkena hujan.

Berikutan kejadian itu, bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus dan pelbagai pihak datang membantu, termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang menghulurkan makanan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Rukun Tetangga (RT) kampung, Zamalluddin Ibrahim, berkata kebanyakan penduduk terkejut tetapi bersyukur kerana tiada yang cedera.

“Penduduk boleh tinggal di rumah kerana hanya atap yang tercabut, tetapi kejadian kali ini membabitkan banyak rumah dan bekalan elektrik terputus,” katanya.

Seorang penduduk, Raja Azlan Raja Kamaruddin, 35, berkata ketika kejadian beliau masih di tempat kerja di Sungai Way dan bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada keluarganya.

Ketika kejadian, ada tiga ahli keluarga di rumahnya, termasuk bapa berusia 64 tahun yang lumpuh separuh badan, ibunya berusia 54 tahun serta nenek berusia 86 tahun.

“Kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini, sudah tentu mereka susah nak selamatkan diri kerana semuanya kurang sihat. Sebab itu saya terus pulang dan syukur semuanya selamat,” katanya.

Ponna Samy, 49, kakitangan Telekom Malaysia Berhad berkata, beliau kerugian kira-kira RM1,000 apabila banyak peralatan rumah rosak terkena air hujan.

Katanya, ketika kejadian, isteri, ibu, datuk serta tiga anaknya berada dalam rumah tetapi selamat.

Dalam kejadian di Pangsapuri Bandar Pinggiran Subang U5, Shah Alam, seorang penduduk, Hadi Tahar, 29, mendakwa melihat putaran angin kencang seperti puting beliung selama kira-kira lima minit menyebabkan atap serta kayu dan sampah di blok rumahnya berterbangan.

“Ketika putaran angin melanda kawasan tepi rumah, saya nampak kayu serta atap berterbangan dan jatuh atas kereta saya, tetapi tidak boleh buat apa-apa kerana terkejut dan takut,” katanya.

Beliau kerugian lebih RM50,000 apabila kereta Proton Wira yang baru dibelinya dua bulan lalu rosak teruk.

Ketika kejadian, Hadi yang baru berkahwin dua bulan lalu dan tinggal di tingkat tiga bersama isterinya, Jemi Azlina Jasmi, 24, baru pulang dari hospital kerana menghantar isterinya yang mengadu sakit kepala.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.