This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli kesal MDM lewat keluarkan CF
Berita Harian 4/2/2005 Oleh Sahlina Sahkirin
 


PEMILIK rumah di Taman Sri Daik menunjukkan
pendawaian elektrik rumahnya yang belum siap.

MERSING: Pembeli rumah di Taman Sri Daik mendakwa menjadi mangsa kerenah birokrasi Majlis Daerah Mersing (MDM) yang lewat mengeluarkan sijil layak menduduki (CF) walaupun rumah sudah lama siap.

Penduduk berkata, sehingga kini MDM belum memaklumkan pengeluaran CF walaupun pemaju sudah menyerahkan kunci kepada semua pembeli.

Oleh itu, kebanyakan pembeli yang juga penyewa di bandar Mersing terpaksa berpindah ke rumah baru walaupun bekalan air serta elektrik belum disediakan.

Tinjauan ke taman berkenaan mendapati 15 keluarga sudah berpindah antara satu hingga tiga bulan lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan pinjaman perumahan.

Mereka menggunakan lilin dan ada yang menyewa jana kuasa elektrik.

Bagaimanapun, penduduk bernasib baik apabila Syarikat Air Johor Holding (SAJH) daerah membekalkan air dua hari sekali melalui lori tangki.

Penduduk mendakwa sudah menghubungi wakil rakyat dan Ahli Parlimen kawasan berkenaan tetapi sehingga kini masalah itu gagal diselesaikan.

Seorang pembeli, Azman Ramly, 33, berkata beliau berpindah ke rumah baru itu walaupun menggunakan lilin kerana tidak mampu membayar sewa RM300 sebulan dan potongan pinjaman perumahan RM350 sebulan.

Norhayati Ibrahim, 40, (gambar) berkata masalah CF itu tidak sepatutnya berlaku kerana sistem kerja kini sudah canggih dan pemaju sudah memenuhi syarat yang ditetapkan MDM.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan MDM yang lambat mengeluarkan CF walaupun Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkali-kali mengeluarkan kenyataan supaya jabatan kerajaan dan kakitangannya perlu cekap dalam pentadbiran mereka.

Salleh Mohd Badrum, 41, berkata beliau kesal kerana anak tidak dapat mengulang kaji pada sebelah malam kerana tidak ada bekalan elektrik.

Katanya, kebanyakan yang berpindah ke taman berkenaan adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mampu mengeluarkan dua perbelanjaan rumah.

Sementara itu, Ketua Whip MDM, Hanafiah Junid, berkata kelewatan pemaju membina papan tanda nama taman, landskap dan lampu jalan menyebabkan CF tidak dapat dikeluarkan.

Sehubungan itu, beliau meminta pemaju menyelesaikan tiga perkara itu sebelum CF boleh dikeluarkan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.